Sendiri hendak buat 'comeback' jadi PM, tuduh saya pula: Najib

Hantaran Facebook terkini Najib bagi membidas pertuduhan Dr Mahathir terhadapnya menerusi sebuah media antarabangsa hari ini.
Hantaran Facebook terkini Najib bagi membidas pertuduhan Dr Mahathir terhadapnya menerusi sebuah media antarabangsa hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak membidas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau cuba kembali menjadi Perdana Menteri sekiranya dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri keenam menyifatkan dakwaan itu sebagai 'gila' kerana Dr Mahathir sendiri yang tidak henti-henti membuat 'comeback' (kemunculan semula) sebagai Perdana Menteri kesembilan dalam masa terdekat.

"Dia (Dr Mahathir) sendiri yang tak henti-henti nak buat comeback (kemunculan semula) jadi PM9 (Perdana Menteri kesembilan), lalu dia tuduh saya yang nak buat comeback! Giler," katanya menerusi satu hantaran dalam laman sosial Facebooknya hari ini.

Hantaran Najib itu menerima sukaan 23,000 warganet, 2,700 komen serta 776 perkongsian sejak disiarkan dua jam lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Najib tidak akan bantu Muhyiddin kekal PM jika masuk penjara: Tun M

Beliau memuat naik hantaran itu bagi mengulas dakwaan Dr Mahathir mendedahkan cita-citanya untuk kembali menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan tidak terbatas sekadar terlepas hukuman penjara menerusi satu wawancara khas bersama akhbar antarabangsa, South China Morning Post yang disiarkan hari ini.

Mahathir turut mendakwa Najib tidak akan bekerja keras untuk membantu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau dipenjarakan akibat kes mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Najib turut membidas Dr Mahathir yang tidak henti-henti menyalahkannya susulan kegagalan terkini Ahli Parlimen Langkawi itu untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan berdepan kesukaran.

"Dia (Dr Mahathir) beritahu media asing semalam bahawa musuh sebenarnya dia ialah saya sebab kononnya saya muncul kembali sebagai kuasa politik selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14).

"Tak henti-henti PM7 (Dr Mahathir) sebut nama saya dalam wawancara itu. Lalu, dia mengaku dia menghadapi kesukaran untuk menumbangkan kerajaan PN.

Artikel Berkaitan:

"Dia sendiri tak berjaya tumbangkan kerajaan PN, PM8 tetapi dia salahkan saya pulak. Nak kutuk saya lagi buat apa?" ujarnya menerusi satu lagi hantaran Facebook hari ini.