PRK Chini: SKMM perlu pastikan akses internet lancar

SAIFUDDIN
SAIFUDDIN
A
A
A

KUANTAN - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memastikan akses internet di Chini, Pekan, Pahang lancar bermula pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 20 Jun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia bertujuan untuk memastikan tiada sebarang gangguan atau masalah berkait kualiti capaian internet timbul pada hari tersebut dan juga ketika hari pengundian.

Menurutnya, sebarang masalah yang timbul ketika ini perlu diatasi segera, dalam masa sama ia bertujuan memberi manfaat kepada penduduk dalam DUN Chini.

"Akses internet ke Chini terutama untuk memastikan pusat media di pusat penamaan calon dan pusat pengumpulan undi tidak terganggu dan oleh demikian SKMM Pahang akan bantu memastikan ada akses internet," katanya selepas perjumpaan bersama kakitangan jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, unit bantuan guaman akan diwujudkan untuk membantu masyarakat dalam kawasan itu menangani pelbagai masalah melibatkan khidmat nasihat perundangan dan bantuan guaman.

Menurutnya, ia ekoran isu pembuangan hampir 1,000 pekerja di sebuah perusahaan antarabangsa di Gebeng, Kuantan baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, bantuan guaman tersebut tidak terhad kepada isu tersebut sebaliknya turut melibatkan kes-kes seperti jenayah, syariah, buruh, sewa beli, pembubaran perkahwinan, kontrak dan koperasi.

Artikel Berkaitan: