Saya dan Anwar perlu bersama tumbangkan Muhyiddin, kata Tun M

Anwar Ibrahim, Dr Mahathir Mohamad
Anwar Ibrahim, Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersama untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Melalui satu wawancara khas bersama akhbar antarabangsa, South China Morning Post (SCMP), Dr Mahathir yang mendakwa masih Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, Pakatan Harapan (PH) Plus tidak mempunyai kekuatan untuk menukar kerajaan PN sekiranya beliau dan Anwar tidak bekerjasama.

Menurutnya, pada saat ini, beliau menyifatkan bukan Anwar yang bermasalah dengannya, sebaliknya kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibimbangi akan memberi kelebihan kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sekiranya kami tidak bersama, kami tidak akan mempunyai tunjang kekuatan yang diperlukan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada, dengan keadaan kerajaan sekarang hanya memiliki majoriti tipis," katanya sewaktu ditemuramah akhbar SCMP kelmarin.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas dakwaan perkembangan terkini oleh sebilangan pemerhati politik yang berpendapat kerjasama Anwar dan Mahathir mungkin membolehkan mereka memperoleh sokongan majoriti 222 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu pada penghujung minggu hadapan.

Kebarangkalian senario itu berlaku tidak mustahil boleh berlaku mengambil kira kerajaan pimpinan Muhyiddin kini hanya memiliki sokongan tipis 113 ahli Parlimen.

Bagaimanapun, usaha pengambilalihan tampuk pentadbiran kerajaan PN oleh PH Plus turut berdepan kesukaran apabila teka-teki mengenai keputusan siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri di antara Dr Mahathir dan Anwar masih belum terjawab.

Bagi mengendurkan persoalan itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil semalam menjelaskan keputusan mengenai siapa calon Perdana Menteri bagi kolisi PH Plus hanya akan diputuskan pada minggu hadapan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Dr Mahathir dan Anwar turut mendakwa sokongan diterima daripada beberapa ahli Parlimen dari blok kerajaan PN sebelum ini kini ditarik balik susulan mereka menerima tawaran pelantikan jawatan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sementara itu, Dr Mahathir turut mengakui kemampuan PH Plus untuk mengambil alih kerajaan dari tangan Muhyiddin turut bergantung penuh kepada sokongan ahli-ahli Parlimen dari negeri Sabah dan Sarawak.

Beliau bagaimanapun mendedahkan perbincangan dengan ahli-ahli Parlimen dari dua negeri itu berdepan kesukaran susulan mereka menuntut kerajaan pusat memberikan kuasa autonomi lebih besar kepada Sabah dan Sarawak.

"Cuma kami mungkin boleh mengambil peluang daripada rasa ketidakpuashatian pemimpin-pemimpin dalam PN susulan penggunaan kuasa lantikan politik untuk Muhyiddin mengekalkan sokongan penyokongnya.

"Jadi ramai antara mereka yang kini merasakan kurang mendapat sokongan daripada kerajaan. Jadi kami kini dalam posisi di mana kami tidak boleh mendakwa yang kami boleh benar-benar mampu mengambil alih kerajaan sedia ada, tetapi kami berusaha kuat ke arah itu," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Muhyiddin dijangka mengadakan pilihan raya mengejut bagi menyelesaikan perbalahan dengannya, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan itu akan berlaku.

Namun begitu, beliau berpendapat sokongan Muhyiddin perlu diuji di Dewan Rakyat terlebih dahulu.