X

Kindly register in order to view this article
!

Kain rentang sokong Tun M cubaan sabotaj Bersatu Hulu Terengganu, Setiu

Mohd Yusop (empat dari kanan) dan ahli Bersatu Bahagian Setiu membuat laporan polis pagi tadi. Gambar kecil: Rosol Wahid
A
A

HULU TERENGGANU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Terengganu kesal dan mengecam tindakan pihak tertentu yang cuba mensabotaj bahagian berkenaan dengan menaikkan kain rentang menyatakan sokongan terhadap bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Bersatu Bahagian Hulu Terengganu, Datul Rosol Wahid menegaskan, tindakan itu adalah cubaan berniat jahat pihak tertentu dan ia sama sekali tidak menggambarkan pendirian sebenar mereka yang memberi sokongan dan mandat penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi parti itu.

"Bersatu Bahagian Hulu Terengganu menegaskan, tiada apa yang boleh menggoyahkan sokongan kami terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden, merangkap Pemangku Pengerusi Bersatu.

"Kami juga menolak sebarang provokasi daripada pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan dan kesepaduan Bersatu Hulu Terengganu dari peringkat akar umbi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara, Ketua Bersatu Bahagian Setiu, Mohd Yusop Majid turut sama mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memasang kain rentang yang menyatakan ahli-ahli Bersatu Bahagian Setiu menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, kejadian itu diketahui petang semalam apabila mendapat WhatsApp yang memaklumkan kain rentang itu dinaikkan di Sungai Tong, Setiu.

"Saya rasa bertanggungjawab untuk menafikan perbuatan seperti ini kerana ia menggugat kestabilan masyarakat dan ahli-ahli parti.

"Sekiranya perbuatan seperti ini berterusan, sudah pasti kepimpinan kerajaan mahupun parti yang sedia ada sentiasa diancam dan boleh menggugat kestabilan negara dan negeri," katanya.

Susulan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu pagi tadi bersama-sama ahli Bersatu bahagian berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!