Muafakat Nasional jadi pilihan jika PRU15 dalam masa terdekat: Emir Research

Dapatan yang dikongsi Emir Research mengenai sokongan rakyat sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.
Dapatan yang dikongsi Emir Research mengenai sokongan rakyat sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu kaji selidik dijalankan firma Emir Research mendapati 52 peratus rakyat akan mengundi calon kerusi Parlimen yang diwakili Muafakat Nasional sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Dapatan itu diperoleh menerusi Pengundian Suku Pertama 2020 (1Q20) yang dibuat daripada 15 Januari sehingga Februari tahun ini di mana ketika kaji selidik tersebut dijalankan Malaysia masih lagi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menerusi kaji selidik membabitkan 2,002 responden seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan itu, peratusan undian yang diterima Muafakat Nasional yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN) dan Pas meningkat 14 peratus berbanding 38 peratus undian yang diperoleh pada pengundian sama yang dilakukan firma berkenaan hujung tahun lalu.

Berdasarkan data yang dikongsi melalui dapatan itu, peratusan undian yang diterima PH hanya 30 peratus iaitu merosot sebanyak 11 peratus berbanding 41 peratus undian sebelum ini.

Selain itu, terdapat kenaikan satu peratus (18 peratus) dalam kalangan rakyat Malaysia yang akan memilih Bebas berbanding 17 peratus sebelum ini sekaligus menandakan bahawa keinginan kuasa ketiga mentadbir negara masih relevan.

Dapatan yang dikongsi Emir Research mengenai sokongan rakyat sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.
Dapatan yang dikongsi Emir Research mengenai sokongan rakyat sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan perkembangan itu, firma penyelidik tersebut tidak menolak kemungkinan kemunculan Perikatan Nasional (PN) akan membangkitkan lagi semangat kuasa ketiga dalam pentadbiran Malaysia.

Sementara itu, dalam kenyataan sama yang diedarkan, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research, Dr Rais Hussin berkata, tinjauan itu dilakukan bertujuan untuk mendapatkan tanda aras kepada tinjauan awal setiap suku tahun bagi mengesan sama ada trend masa depan bergerak atau menuju garis dasar.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Dr Rais turut menjelaskan, mengikut perancangan satu sidang berkenaan keputusan dapatan tersebut akan dibuat pada April lalu namun ia tidak dapat dilaksanakan susulan beberapa krisis yang melanda negara termasuk peralihan kerajaan, wabak koronavirus (Covid-19) disusuli tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Proses memasukkan data (kaji selidik) bermula pada 25 Februari dan selesai pada 9 Mac. Selepas itu, analisis penemuan pula diselesaikan pada 20 Mac.

"Rancangan asal adalah mengadakan sidang media mengenai penemuan itu pada awal April tetapi negara dikejutkan dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu serta disusuli krisis peralihan kerajaan dan seterusnya Covid-19," katanya.

Sehubungan itu, Dr Rais menegaskan analisis penemuan dalam tinjauan semasa tersebut adalah relevan semasa PH masih mentadbir negara.

Katanya, nilai semasa tinjauan itu terletak pada kekuatan ramalannya dalam memberikan pelbagai latar belakang kejatuhan PH.