Kes chikugunya meningkat di Kampung Kacang Putih

Jeyagopi (kiri) bersama pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan MBI melakukan pemeriksaan kawasan sekitar kawasan Kampung Kacang Putih di sini.
Jeyagopi (kiri) bersama pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan MBI melakukan pemeriksaan kawasan sekitar kawasan Kampung Kacang Putih di sini.
A
A
A

IPOH - Peningkatan kes chikugunya di Kampung Kacang Putih, Buntong di sini mencetuskan kebimbangan kerana dijangka memberi kesan kepada kehadiran pelancong.

Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), S Jeyagopi berkata, dengan jumlah 10 kes dalam masa dua minggu, perkara itu perlu diambil serius oleh penduduk dan Persatuan Penjual-Penjual Kacang Puteh Ipoh di kawasan tersebut bagi memastikan keadaan terkawal.

Menurutnya, kawasan tumpuan pelancong seperti Kampung Kacang Putih itu perlu diberikan perhatian terutama dari segi tahap kebersihan persekitaran demi menjaga imej yang baik.

"Usaha ini perlu dilakukan dengan kerjasama penduduk bukan tanggungjawab pihak Jabatan Kesihatan atau MBI semata-mata kerana setiap orang perlu pastikan kawasan rumah dan premis mereka bersih dari segala sampah yang boleh menakung air.

"Saya minta pihak persatuan dan penduduk ambil berat tentang peningkatan wabak ini jika mahu kawasan ini terus dikunjungi pelancong," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program gotong-royong di Kampung Kacang Putih, Buntong di sini hari ini.

Menurutnya, semua penduduk dan pemilik premis perlu meluangkan masa 10 minit setiap hari untuk musnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca kepada penyakit tersebut.

Jeyagopi (kiri) bersama pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan MBI melakukan pemeriksaan kawasan sekitar kawasan Kampung Kacang Putih di sini.
Jeyagopi (kiri) bersama pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan MBI melakukan pemeriksaan kawasan sekitar kawasan Kampung Kacang Putih di sini.

Jelasnya, selain kes chikugunya, kawasan tersebut juga turut dikesan mempunyai kes denggi dengan jumlah kini sebanyak tiga kes.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dengan kerjasama persatuan dan penduduk turut akan menubuhkan pasukan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) di kawasan itu.

Jeyagopi berkata, tindakan segera perlu dilakukan agar kawasan pelancongan tersebut tidak terjejas tambahan sektor perniagaan baharu sahaja dibuka selepas penularan koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta menasihati orang ramai supaya terus menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelak kes tersebut meningkat.

Menurutnya, jika kes terus meningkat dan bertukar menjadi kawasan wabak, kompaun RM500 akan dikenakan ke atas orang ramai serta pemilik premis jika jentik-jentik ditemui.

Kampung Kacang Putih, Buntong di sini merupakan destinasi tumpuan pelancong untuk mendapatkan produk makanan ringan seperti muruku, kacang goreng, kerepek dan sebagainya.