Perlis tangguh kebenaran pasar malam, sehari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menangguhkan kebenaran operasi pasar malam dan pasar sehari di seluruh negeri Perlis sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian.

MPK dalam kenyataan malam tadi memberitahu, ia selaras dengan keperluan bagi memastikan penganjuran aktiviti itu dapat dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, MPK sedang memperhalusi kaedah penganjuran aktiviti penjajaan pasar malam dan pasar sehari yang dapat menepati SOP itu.

Sebagai alternatif, MPK sedang merancang untuk menganjurkan Bazar Penjaja Terkawal (BPT) di lokasi-lokasi terpilih, dan perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan semua pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun, tertakluk kepada SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beberapa negeri, antaranya Johor, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan turut mengambil langkah yang sama memberi kebenaran beroperasi secara berperingkat bermula Isnin ini mengikut SOP yang ditetapkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: