Buruh diugut, diacu parang lelaki dikenali

Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Adli Mat Daud)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Adli Mat Daud)
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang buruh berdepan detik menakutkan apabila mukanya diacukan sebilah parang oleh lelaki dikenali yang dipercayai tidak berpuas hati dengannya sebelum ini dalam kejadian di Kampung Machang, Ajil di sini Isnin lalu.

Kejadian jam 3.50 petang itu berlaku semasa lelaki berusia 26 tahun itu dalam perjalanan ke rumah sepupunya dengan menunggang motosikal sebelum berselisih dengan motosikal ditunggang suspek dikenali.

Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa tidak menghiraukan suspek, malah tidak menyedari yang lelaki itu mengekorinya hinggalah ke rumah sepupunya terletak di kampung sama.

"Setibanya di rumah sepupu, mangsa terus dihampiri suspek lalu mengacukan sebilah parang ke muka, tetapi sempat dihalang oleh bapa saudara mangsa yang kebetulan ada di lokasi.

"Bengang dengan tindakan bapa saudara mangsa yang dianggap masuk campur urusannya mengundang rasa tidak puas hati suspek sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara mereka.

"Semasa perang mulut itulah, suspek dikatakan ada mengeluarkan kata-kata ugutan 'tunggu nanti' yang ditujukan kepada mangsa dan bapa saudaranya sebelum beredar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan tindakan suspek mengacukan parang ke arahnya yang sekali gus menimbulkan rasa takut selain risau perkara tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, suspek juga berjaya ditahan kira-kira jam 1.45 pagi di sebuah rumah di Kampung Machang, Ajil di sini Selasa lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.