X

Kindly register in order to view this article
!

RM740,000 lesap diperdaya sindiket Macau Scam

A
A

KUANTAN - Akibat terlalu takut ditahan selepas didakwa terlibat dalam kes pengubahan wang haram, seorang pesara menanggung kerugian apabila wang simpanannya RM740,000 lesap diperdaya sindiket Macau Scam pada Mac lalu.

Mangsa yang berusia lingkungan 60-an diperdaya selepas dihubungi lelaki yang menyamar seorang pegawai polis dari Sabah mendakwa dia terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM180,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 23 Mac lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklumkan penglibatan mangsa dalam jenayah itu.

"Mangsa menafikan perkara itu, namun suspek meminta agar memindahkan kesemua wang bagi membolehkan siasatan lanjut.

"Malah, suspek juga mengugut supaya mangsa tidak menceritakan kepada sesiapa kerana tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengeluarkan semua wang simpanan berjumlah RM716,908 dan memasukkan wang itu ke akuan yang diberikan suspek.

"Kemudiannya, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM710,000 dan RM20,000 ke akaun sebuah syarikat yang diberikan suspek pada 23 dan 29 April lalu.

"Pada 30 April dan 4 Mei lalu pula, mangsa telah membeli kad tambah nilai Digi berjumlah RM10,000 dan memberikan kepada suspek melalui telefon selepas diminta berbuat demikian," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas mengikuti semua arahan daripada suspek, mangsa merasa telah ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan Keseksaan kerana menipu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus