Keputusan saringan Covid-19 palsu, 5 warga Bangladesh ditangkap

Mazlan Lazim
Mazlan Lazim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lima lelaki warga Bangladesh ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen dengan mengeluarkan keputusan ujian saringan koronavirus (Covid-19) negatif bagi warga asing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun ditahan di Jalan Tengkat Tong Shin di sini Selasa lalu.

“Kesemua suspek bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di Kuala Lumpur. Kita turut merampas lima buah telefon bimbit pelbagai jenama dan satu salinan surat saringan Covid-19.

"Kita juga menerima tiga lagi laporan berhubung pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, laporan itu dibuat selepas pihak hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur menerima panggilan serta e-mel daripada majikan yang ingin mendapatkan pengesahan berhubung laporan keputusan ujian saringan Covid-19.

"Setelah semakan dibuat, pihak hospital dan makmal tersebut mendapati nama pesakit yang dinyatakan dalam laporan keputusan ujian saringan itu tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital dan makmal.

“Doktor yang membuat saringan itu pula tidak bertugas di hospital dan makmal seperti yang dinyatakan dalam laporan keputusan ujian saringan Covid-19 tersebut,” katanya.

Mazlan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan (menggunakan dokumen palsu sebagai tulen), Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.

Artikel Berkaitan:

“Usaha mengesan suspek dan mereka yang terlibat dalam pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 ini sedang giat dijalankan oleh polis,” katanya.

Dalam kenyataan sebelum ini, Mazlan berkata pihaknya berjaya menangkap dua lelaki Bangladesh dalam Op Pemalsuan Dokumen.

Mazlan menegaskan pihaknya memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.

“Sikap tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Menurutnya, pihak majikan dinasihatkan supaya membuat semakan keputusan ujian saringan Covid-19 yang diserahkan oleh pekerja dengan pihak pengeluar laporan sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengambil mereka bekerja.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana balai polis berdekatan,” katanya.