Aliran trafik di lebuh raya utama lancar pagi ini

Keadaan trafik di Lebuhraya Karak pagi ini. - Foto LLM
Keadaan trafik di Lebuhraya Karak pagi ini. - Foto LLM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik hari ini lancar di beberapa lebuh raya utama sempena cuti hujung minggu pertama selepas kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri bermula kelmarin.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui Twitter memaklumkan, aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di kedua-dua arah masih lancar dan terkawal sejak pagi tadi.

"Trafik masih lancar dan terkawal di Lebuhraya KLK@E8 serta LPT1&2@E8, di kedua-dua arah termasuk sekitar Plaza Tol Gombak, Bentong dan Kuala Terengganu," menurut LLM menerusi Twitter tadi.

Begitu juga di Lebuhraya Utara Selatan di kedua-dua arah dengan trafik dilaporkan masih lancar dan terkawal termasuk di kedua-dua arah sepanjang jambatan dan sekitar Plaza Tol JPP (Perai) dan Plaza Tol JK2PP (Batu Kawan).

Bermula Rabu lalu, menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri.

Disebabkan Syawal belum berakhir dan masih dalam suasana Aidilfitri, orang ramai dijangka mengambil peluang balik kampung pada hari ini selepas 85 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu sekali gus larangan rentas negeri turut dikuatkuasakan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline: 1-800-88-0000 dan laman Twitter: www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM: 1-800-88-7752 serta laman Twitter: www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel Berkaitan: