'Sedih, tapi kami reda...'

Jamaliah menunjukkan mesej yang diterima mengenai penangguhan itu dalam kumpulan WhatsApp bakal haji Alor Gajah.
Jamaliah menunjukkan mesej yang diterima mengenai penangguhan itu dalam kumpulan WhatsApp bakal haji Alor Gajah.
A
A
A

ALOR GAJAH - Dua warga emas reda tidak dapat menunaikan ibadat haji pada tahun ini susulan keputusan kerajaan yang menangguhkan penghantaran jemaah haji dari Malaysia ke Makkah ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia termasuk Arab Saudi.

Jamaliah Mamad, 63, dan Roslah Abdullah, 64, dari Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini mendapat tawaran Tabung Haji pada Mac lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Tawaran itu diperoleh setelah empat kali membuat rayuan bermula pada 2008, namun akibat wabak Covid-19 dua sahabat baik itu terpaksa menangguhkan kegembiraan mereka buat sementara waktu.

Jamaliah yang kematian suami pada tahun 1996 akibat kanser berkata, sejak hari pertama menerima tawaran sebagai jemaah haji pada tahun ini, dia telah membuat persediaan kerana begitu teruja setelah penantian dan rayuan selama ini akhirnya diterima.

Sebelum tempoh PKP, dia sudah mula membuat persiapan kelengkapan haji kerana begitu teruja untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

"Mengalir air mata saya masa mendengar berita itu. Sedih sebab dah lama menunggu, sepatutnya giliran saya pergi haji tahun 2021 tapi saya buat rayuan dan dapat tahun ini.

"Sebelum ini anak-anak ada nasihatkan saya, jangan teruja kerana banyak kemungkinan boleh berlaku memandangkan dunia dilanda wabak Covid-19. Kini saya akur dengan keputusan kerajaan," kata Jamaliah ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Sofi Ab Wahab di sini semalam.

Tambah Jamaliah, walaupun pernah mengerjakan umrah pada tahun 2015, dia tetap teruja untuk menjejakkan kaki sekali lagi di bumi bertuah itu kerana kali ini menggunakan wang simpanan dalam Tabung Haji selepas membuat pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hasil titik peluhnya bekerja di kilang dan sebagai tukang pembersihan.

Menurutnya, semangat untuk berangkat ke Makkah tidak pernah luntur dalam jiwanya dan dia bersama Roslah menyertai kursus haji di Masjid Ar Rasyidin Alor Gajah.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun pada waktu itu belum dapat tawaran, tapi setiap tahun saya kuatkan semangat pergi kursus haji sehinggalah rayuan diluluskan pada tahun ini. Tak apalah ALLAH SWT lebih tahu apa yang lebih baik dan saya berdoa semoga ALLAH SWT panjangkan umur saya dan kawan saya supaya kami berdua dapat mengerjakan haji bersama tahun depan," katanya yang mempunyai empat orang anak.

Sofi (kiri) ketika melawat Jamaliah dan Roslah susulan kerajaan menangguhkan penghantaran jemaah haji pada tahun ini di Kampung Belimbing Dalam.
Sofi (kiri) ketika melawat Jamaliah dan Roslah susulan kerajaan menangguhkan penghantaran jemaah haji pada tahun ini di Kampung Belimbing Dalam.

Sementara itu, Roslah berkata, dia juga teruja untuk menjejakkan kaki di bumi Makkah selepas menyimpan azam itu sekian lama selain membuat simpanan wang sejak berusia 20 tahun sebanyak RM10 setiap bulan sebagai persediaan.

"Saya bukan orang senang. Nak pergi umrah mungkin sukar, jadi saya kumpul duit untuk tunai ibadah haji sahaja.

"Bayangkanlah ketika itu pendapatan penoreh getah tidak banyak lebih kurang RM6 sehari dan wang itulah saya simpan di Tabung Haji," katanya yang menjaga kakaknya yang mengalami strok di rumah.

Menurut wanita itu, biarpun belum membuat sebarang persiapan selepas mendapat tawaran menunaikan haji, namun sebagai bakal haji dia tidak terlepas daripada perasaan sedih apabila impiannya itu belum diizinkan oleh ALLAH SWT.

"Saya berdoa dan berharap ALLAH SWT berikan kami kesihatan yang baik agar kami dapat mengerjakan haji pada tahun depan," katanya yang pernah bersedih berikutan kematian anak perempuannya akibat demam.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci susulan penularan Covid-19 yang melanda dunia termasuk di Arab Saudi.