SPR sokong langkah KKM

Azhar Azizan
Azhar Azizan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan prosedur standard operasi (SOP) khas bagi membenarkan mana-mana pesakit koronavirus (Covid-19) mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang pada 4 Julai hadapan.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, keputusan membenarkan pesakit Covid-19 mengundi pada PRK itu amat penting memandangkan hak mengundi adalah hak asasi setiap rakyat negara ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau akur dengan keputusan KKM melarang mana-mana pesakit Covid-19 yang ditempatkan di wad rawatan atau tenat daripada keluar mengundi.

“SPR menyambut baik langkah KKM menyediakan langkah SOP untuk membenarkan pesakit Covid-19 mengundi kerana hak mengundi adalah hak asasi rakyat negara ini sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Akan tetapi saya akur kepada keputusan melarang pesakit positif Covid-19 yang ditempatkan di wad hospital serta tenat daripada mengundi kerana saya faham kedudukan KKM yang mahu memastikan tiada sebarang penyebaran wabak itu berlaku sepanjang PRK DUN Chini,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam yang menegaskan bahawa KKM bersama agensi berkaitan akan menyediakan SOP untuk membolehkan individu dijangkiti Covid-19 mengundi pada PRK DUN Chini.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, SOP yang akan diwujudkan itu tidak terpakai kepada pesakit yang berada di dalam wad dan berstatus tenat.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM sedia SOP untuk pesakit Covid-19 keluar mengundi

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azhar Azizan berkata, SPR bersedia untuk melaksanakan libat urus bersama dengan KKM dan semua agensi berkaitan bagi memuktamadkan SOP itu.

Menurutnya, proses libat urus di peringkat awal bagi tujuan itu sememangnya sudah diadakan dengan cadangan penyediaan khemah khas dilengkapi pegawai yang memakai set sut perlindungan diri (PPE) lengkap antara yang sudah dipersetujui semua pihak terlibat.

“SPR akan meneruskan libat urus dengan KKM sehingga proses penyediaan SOP bagi membolehkan pesakit Covid-19 mengundi dimuktamadkan sehingga tarikh hari penamaan calon pada 20 Jun ini.

“SPR turut menyeru pengundi DUN Chini untuk tidak bimbang keluar mengundi disebabkan pesakit Covid-19 kerana fokus utama SPR dan KKM adalah untuk tidak menyebabkan berlaku penularan wabak itu semasa PRK berlangsung.

“Kita sudah menyediakan waktu keluar mengundi yang digalakkan kepada mereka mengikut kad pengundi iaitu bermula jam 8 pagi sehingga 5.30 petang. Bagi tempoh sejam bermula 4.30 petang hingga 5.30 petang, kita hanya khususkan kepada pesakit Covid-19.

“Justeru, saya yakin tiada masalah untuk mana-mana pengundi keluar mengundi dengan selamat,” katanya.