Arak wajar dikategori setaraf dadah: Mapim

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

ALOR SETAR - Arak wajar dikategorikan sebagai bahan terlarang dan berbahaya, setaraf dengan dadah bagi memudahkan penggunaannya diharamkan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perubahan polisi berkaitan arak perlu segera diubah menerusi pembentangan kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Menurutnya, isu itu tidak perlu lagi dibahaskan memandangkan kajian membuktikan kesan kemudaratan arak termasuk pemandu mabuk hilang kewarasan sehingga menjejaskan keselamatan awam sudah terbukti.

“KKM memiliki pakar dalam isu ini, bukti kajian juga sudah ada. Hanya perlu kemukakan saranan kepada kerajaan untuk dibentang di Parlimen supaya dasar baharu diluluskan.

"KKM dalam hal tertentu ada hak untuk perketatkan hal berkaitan kecemasan, tak perlu lagi bincang begitu lama,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azmi berkata, perubahan dasar itu memungkinkan negara menuju ke arah sifar arak dengan melakukan perubahan polisi secara berperingkat.

“Mungkin ada beranggapan sukar capai sifar arak, ia sama seperti dadah yang dikategorikan sebagai bahan yang diharamkan. Kita perlu melihat arak dari aspek sama dengan dadah bahawa ia juga pembunuh tertinggi dalam negara.

"Malaysia dianggap antara 10 pengguna arak tertinggi di dunia. Kebarangkalian untuk kita terus berhadapan realiti kematian akibat pemandu mabuk akan terus kekal, jadi kita perlu ubah realiti itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, masyarakat pelbagai kaum harus sepakat agar arak dikategorikan sebagai punca pembunuh rakyat Malaysia.

“Kita tak nafikan hak bukan Islam, namun semua kaum faham kesan arak sangat besar dari aspek kesihatan, ekonomi, sosial dan keselamatan awam. Kita boleh bincang dengan wakil bukan Islam untuk hentikan amalan negatif ini.

"Sudah tiba masa untuk kita pertimbangkan jadikan Malaysia negara paling ketat tidak membenarkan minum arak, seterusnya menjurus sifar arak,” katanya.

Mohd Azmi berkata, kerajaan harus mendidik masyarakat kepentingan mengharamkan arak di Malaysia berdasarkan kepada kajian dan bukti saintifik.

“Punca peningkatan kes maut akibat pemandu mabuk amat jelas, kini masanya untuk pertimbangkan minimumkan kes, dengan mensifarkan arak di negara ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut kesal apabila kesan politik turut dijadikan pertimbangan dalam menangani isu terbabit, sedangkan sepatutnya hanya bersandarkan kepada saintifik, bukti dan profesional.

“Ketegasan kerajaan sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) tidak serius, mungkin bertukar kerajaan menyebabkan polisi sukar dilaksana.

"BN yang memerintah 22 tahun masih gagal tangani isu ini, ada polisi baru diperkenalkan dengan tingkatkan cukai, namun dalam bajet akhir BN, cukai judi, arak, rokok tidak ditetapkan dan usaha semakin diketepikan.

"PH pula masih anggap ia hak bukan Islam manakala PN hanya membincangkan isu ini selepas deretan kes maut tercetus, masih berdebat sedangkan kejadian di depan mata. Jangan tunggu musibah di luar kawalan, baru kelam kabut ubah dasar,” katanya.