THT kekal kedudukan pendahulu

Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meraikan kejayaan memenangi Piala Sumbangsih selepas menewaskan pasukan UniKL menerusi penalti ‘shoot out’ 3-1 selepas terikat 2-2 pada perlawanan Sumbangsih Liga Hoki Malaysia TNB 2019 di Stadium Hoki Batu Burok, hari ini. - Foto Bernama
Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meraikan kejayaan memenangi Piala Sumbangsih selepas menewaskan pasukan UniKL menerusi penalti ‘shoot out’ 3-1 selepas terikat 2-2 pada perlawanan Sumbangsih Liga Hoki Malaysia TNB 2019 di Stadium Hoki Batu Burok, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JUARA Piala Sumbangsih, Kelab Hoki Terengganu (THT) mengekalkan kedudukan teratas Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 selepas mengatasi Maybank 4-3 pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam semalam.

Keputusan tersebut menyaksikan THT yang dikendalikan bekas pemain kebangsaan, I. Vikneswaran mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan dengan kutipan 10 mata.

Pada aksi berkenaan, pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun muncul wira THT apabila meledak jaringan hatrik pada minit ke-24, 48 dan 60, selain gol padang Muhammad Sufi Ismat pada minit keempat perlawanan.

Maybank pula meraih tiga gol menerusi Mohamad Zulhamizan Awang Abas seawal minit pertama perlawanan, Hafifihafiz Hanafi (minit ke-14) dan Muhamad Nazrey Din pada minit ke-43.

Juara Piala Tan Sri P. Alagendra, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula terus mengejar rapat THT di persada liga selepas menang bergaya 7-1 ke atas pasukan 'adik', TNB Thunderbolts 7-1 pada satu lagi aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Tujuh gol TNB dijaringkan Muhammad Noor Firdaus Rosdi pada minit kelapan dan 12, Firhan Ashaari (minit ke-21 dan 56), Muhammad Amirul Hamizan Azahar (minit ke-23) serta dua gol daripada pemain kebangsaan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-32 dan 57.

TNB Thunderbolts meraih gol saguhati menerusi jaringan padang Muhammad Syazwan Syafiq Basir pada minit ke-38.

Dalam pada itu, Nurinsafi/Hoki Kedah menamatkan badi kekalahan selepas menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2-0 pada aksi di Stadium Hoki UiTM, Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Bekas pemain kebangsaan, Ismail Abu membuka tirai jaringan pelawat menerusi gol padang pada minit ke-26 sebelum Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi mengesahkan kemenangan sulung Nurinsafi/Hoki Kedah, juga menerusi gol padang pada minit ke-51.- Bernama