Enam rumah dihempap pokok berusia 80 tahun

Enam buah rumah rosak apabila dihempap pokok dalam kejadian angin kuat pagi tadi.
Enam buah rumah rosak apabila dihempap pokok dalam kejadian angin kuat pagi tadi.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Enam buah rumah penduduk di Sungai Tiram dan Sungai Batu di sini mengalami kerosakan apabila dihempap pokok pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang selama dua jam dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu menyebabkan tiga rumah penduduk terlibat rosak teruk.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan penduduk dilaporkan dalam kejadian yang melibatkan 30 mangsa itu.

Penduduk, Muhamad Azran Mohd Azman, 25 berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

"Kira-kira jam 11.30 pagi tadi, saya dikejutkan dengan bunyi dentuman yang sangat kuat. Saya ingatkan bunyi kemalangan jalan raya, rupa-rupanya pokok besar menimpa rumah saya.

"Saya amat bersyukur kerana setengah jam sebelum kejadian, ibu bapa saya keluar untuk membeli beberapa keperluan. Saya juga tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui tadi.

Pokok ketapang berusia lebih 80 tahun menghempap tiga buah menyebabkannya rosak teruk.
Pokok ketapang berusia lebih 80 tahun menghempap tiga buah menyebabkannya rosak teruk.

Sementara itu, di Teluk Tempoyak, Mohd Zamri Mohamad Yusof, 36 berkata, bumbung rumahnya telah diterbangkan angin kuat dalam kejadian jam 12.30 tengah hari tadi.

Artikel Berkaitan:

"Saya baru baiki bumbung rumah saya dua tahun lalu dan kini ia rosak kembali selepas diterbangkan angin kuat tadi.

"Buat sementara ini, saya hanya menutupinya menggunakan plastik agar air hujan tidak masuk ke rumah. Saya redha dan bersyukur kerana tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dalam kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Kampung Terang dan Skuad Pantas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah berjaya mengalihkan pokok ketapang berusia lebih 80 tahun yang menimpa tiga buah rumah di Pantai Teluk Bayu, Sungai Batu.

Anggota bomba sedang bertungkus lumus mengalihkan pokok yang menghempap beberapa rumah.
Anggota bomba sedang bertungkus lumus mengalihkan pokok yang menghempap beberapa rumah.

Menurutnya, Skuad Pantas MBPP menggunakan kren berkeupayaan 25 tan untuk mengalihkan batang pokok tersebut.

"Di Pantai Teluk Bayu, tiga rumah yang ditimpa pokok rosak teruk manakala di kawasan lain dalam kawasan Sungai Batu juga, sebuah rumah ditimpa pokok manggis dan langsat namun tidak rosak teruk.

"Di lokasi ketiga di Kampung Masjid, Teluk Kumbar, ia melibatkan pokok pinang yang menghempap bahagian dapur rumah tetapi tiada kerosakan serius.

"Di Kampung Paya, Teluk Kumbar pula, sebatang pokok rokam menimpa bahagian sisi rumah menyebabkan 'awning' rumah berkenaan tercabut," katanya.

Azrul berkata, beliau akan membaiki segera tiga rumah yang rosak teruk bagi membolehkan semua keluarga yang terlibat tinggal di rumah mereka dengan selesa.