Perihal bersin dalam komuter

A
A
A

SEJURUS diberitahu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), perkara pertama yang saya fikir adalah tentang komuter.

Selain berita menggembirakan tentang rentas negeri dibenarkan yang menyebabkan rakyat jelata bertempik gegak gempita, saya tertanya-tanya tentang komuter yang selalunya saya guna untuk ke tempat kerja.

Sebenarnya, berita merentas negeri tidaklah membuatkan saya teruja kerana memang setiap hari saya perlu bekerja dengan merentas negeri. Biasanya mengambil masa sejam berbanding komuter yang mengambil masa 45 minit kerana saya memandu seperti kura-kura.

Buat masa sekarang, saya masih menggunakan kereta untuk berulang-alik dari Gurun ke Butterworth. Kebiasaan menggunakan komuter sebenarnya memberi ketenangan kepada saya.

Sebelum ini, ketika bekerja di ibu pejabat di Petaling Jaya pun saya memang tidak membawa kenderaan. Setiap hari saya akan menaiki LRT.

Sebenarnya di sebelah utara ini, kami ada kumpulan WhatsApp Warga Komuter. Biasanya akan dikongsikan maklumat perjalanan berkenaan komuter. Rata-ratanya walaupun bukan semua, kami sudah kenal dan mesra di antara satu sama lain.

Kebanyakan pada waktu pergi kerja dan balik kerja, memang terserlah muka-muka yang sama. Kalau rajin kami akan berbual-bual dan kalau malas hanya sekadar angguk-angguk kepala.

Setiap pagi sebelum pergi kerja akan ada orang menghantar mesej bertanya: “Pagi ni komuter panjang atau pendek?”

Artikel Berkaitan:

“Panjang,” jawab seorang penumpang.

Maka, seronoklah kami yang menunggu, kerana akan ada banyak kerusi kosong ataupun tidaklah terlalu sesak.

Kami akan berpusu-pusu bergerak ke hadapan sedikit untuk menghindarkan daripada orang lain yang tidak mendapat maklumat rahsia seperti kami ini. Lagipun komuter panjang berhenti agak jauh.

Pulang dari kerja pun sama juga. Kami dengan bangganya akan pastikan dahulu sama ada komuter panjang atau pendek.

Kalau pendek seperti biasa, kami sudah tahu pintu yang tepat untuk menunggu supaya dapat masuk dahulu mengambil tempat duduk yang selesa.

Kami juga tidak kejam. Sebagai rakyat jelata yang bertanggungjawab kami akan memberi tempat duduk kepada orang yang lebih memerlukan. Lagipun rata-rata ada yang membawa kerusi sendiri. Kerusi lipat yang boleh dibawa ke mana-mana.

Sesak

Semasa artikel ini ditulis, masih ada yang mempromosikan kerusi mudah alih kepada sesiapa yang memerlukannya.

Membawa kerusi sendiri tidak akan mengganggu orang lain yang lebih memerlukan tempat duduk. Cuma kalau komuter pendek, keadaan sesak agak menyulitkan juga untuk duduk di kerusi sendiri disebabkan tempat yang terhad.

Saya pula biasanya akan duduk berdekatan pintu supaya senanglah keluar ketika sampai ke destinasi. Begitulah sehari-hari waktu bekerja. Cuma apabila PKP pada 18 Mac sahaja saya terpaksa menggunakan kenderaan sendiri pula.

Sekarang jadual komuter tidak seperti dahulu lagi. Jadualnya agak terhad bukan lagi setiap sejam. Jadualnya tidak menyenangkan saya untuk menggunakannya terutama ketika saya perlu pulang lewat daripada kerja.

Menggunakan pengangkutan awam membuatkan saya tidak lagi letih untuk memandu dan menghadapi kesesakan jalan raya. Cuma kadang-kadang kesesakan dalam komuter sahaja.

Kalau waktu pagi semuanya menyenangkan walaupun bersesak-sesak kerana semuanya wangi-wangi sahaja. Cuma pada waktu pulang daripada kerja agak mencabar dengan bau-bauan menusuk hidung.

Dengan normal baharu ini, kita perlu memakai topeng muka untuk menjaga keselamatan diri. Kalau perlu bersin dan batuk pun, bersinlah sahaja dalam topeng muka tetapi kena berhati-hati juga.

Waktu dulu-dulu kalau bersin ramai sahaja yang mengucapkan: “Semoga ALLAH memberi rahmat kepadamu.” Tetapi sekarang kalau kita bersin, ramai yang akan merenung kita seperti harimau lapar. Kalau boleh tahan, tahanlah sahaja.

Walau apapun, saya berharap komuter berjalan seperti jadual biasa. Selain itu, ia juga amat menjimatkan masa dan duit.

Saya tidak tahu sama ada di negeri belah utara ini akan mendapat peruntukan kerajaan sebanyak RM30 tanpa had juga. Setakat ini, yang saya tahu hanya di Lembah Klang. Saya harap dapatlah dipanjangkan di belah sini juga.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan yang meminati penulisan kreatif. Untuk berkenalan, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com