Mansuh sahaja Akta Hasutan

A
A

PADA 9 Januari 2019, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah mengeluarkan kenyataan media bahawa tiga individu yang dikatakan telah memuat naik komen-komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan dengan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Pada hari yang sama, saya bersama-sama dengan Farhan Haziq Mohamed, Ketua DAPSY Subang & Ahli Majlis MBPJ telah mengeluarkan suatu kenyataan di mana kami mengecam kenyataan individu-individu yang mengeluarkan ekspresi yang dianggap menghina terhadap baginda Sultan Muhammad V dan menyeru supaya rakyat Malaysia menghormati sistem raja berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi pada masa sama, kami juga mengkritik penahanan mereka di bawah Akta Hasutan, yang kami gelarkan sebagai suatu akta peninggalan penjajah yang zalim dan menekan, serta merupakan suatu sekatan tidak munasabah dan tidak berkadar ke atas kebebasan asasi yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kami juga telah mencadangkan bahawa sekiranya perlu, pihak polis boleh menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada selain Akta Hasutan bagi menyiasat ketiga-tiga individu tersebut.

Apabila kami mengeluarkan kenyataan tersebut, kami telah dikecam hebat. Kami dituduh sebagai mahu menggalakkan orang ramai menghina sultan, walaupun dengan jelas kami telah nyatakan bahawa kami mahu orang ramai hormat institusi raja berperlembagaan.

Kemudian, pada hari berikutnya apabila Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Adam pula ditahan polis di bawah Akta Hasutan, saya melalui saluran media sosial juga telah membantah penahanan beliau. Saya menyatakan bahawa walaupun Lokman sepatutnya disiasat atas kenyataan-kenyataannya, pihak polis tidak seharusnya menggunakan Akta Hasutan untuk berbuat demikian.

Saya telah lama menulis dan berkempen supaya Akta Hasutan ini dimansuhkan. Sebelum ini, semasa saya bersama dengan Majlis Peguam, saya telah terlibat dengan kempen #MansuhAktaHasutan yang dilancarkan pada tahun 2014. Pada masa itu, saya juga telah diserang secara peribadi, termasuklah serangan terhadap ahli keluarga saya di media sosial.

Bantahan saya, dan banyak lagi aktivis lain terhadap Akta Hasutan bukan bermakna kita menyokong kenyataan atau hinaan yang dikeluarkan. Bantahan kami adalah terhadap akta itu sendiri, yang memang bermasalah.

Contohnya, takrifan tentang apa itu ‘kecenderungan menghasut’ dalam akta adalah begitu luas. Apa-apa jenis kritikan terhadap kerajaan boleh dikatakan sebagai menghasut, kerana sudah tentu apabila terdapat kritikan, ia mempunyai kecenderungan untuk melahirkan perasaan ‘tidak suka’. Pihak pendakwaan juga tidak perlu membuktikan bahawa apa yang dilakukan atau dituturkan sememangnya menghasut, asalkan terdapat kecenderungan.

Penjenayahan tentangan, tuturan dan kritikan ini tidak mendukung semangat demokrasi yang kita junjung, apatah lagi apabila definisi yang diberikan adalah begitu luas.

Satu lagi kritikan terhadap akta adalah niat orang yang mengeluarkan kata-kata itu tidak perlu dibuktikan. Ini memudahkan lagi kerja pihak pendakwaan, dan membolehkan undang-undang ini disalahgunakan.

Sememangnya, undang-undang ini telah banyak kali disalahgunakan sebelum ini. Individu-individu pernah ditahan sebelum ini hanya kerana mereka mengkritik pihak berkuasa, atau kerajaan. Sebab itu jalan yang berbaik adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Sekiranya akta ini dimansuhkan, masyarakat tidak akan jadi huru-hara. Banyak akta lain yang boleh digunakan, mengapa perlu bergantung kepada akta peninggalan British yang sudah lapuk ini?

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.