BNM umum Timbalan Gabenor, Penolong Gabenor baharu

Bank Negara Malaysia. - Foto 123RF
Bank Negara Malaysia. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan pelantikan Marzunisham Omar sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Jun 2020.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata sebagai Timbalan Gabenor, Marzunisham akan memantau keseluruhan bidang pengurusan korporat Bank, termasuk mata wang dan kewangan, digital dan teknologi, modal insan dan perkhidmatan korporat.

Beliau juga akan menjadi Timbalan Gabenor yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan.

“Marzunisham akan menjadi ahli Lembaga Pengarah dan akan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa Bank. Ini termasuk Jawatankuasa Pengurusan, Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko,” kata BNM.

Bank pusat itu berkata, Marzunisham juga akan menjadi pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC).

Marzunisham memulakan kerjaya beliau di BNM pada tahun 1993 dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana serta Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada University of Cambridge, United Kingdom. Beliau mempunyai pengalaman selama 27 tahun dalam pelbagai bidang Perbankan Pusat.

BNM turut mengumumkan pelantikan Dr Norhana Endut sebagai Penolong Gabenor yang akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Ekonomi, Dasar Monetari, Pengurusan Data & Statistik serta Jabatan Antarabangsa.

Sebelum pelantikan tersebut, Dr Norhana telah berkhidmat di Jabatan Ekonomi dan Jabatan Dasar Monetari.

Artikel Berkaitan:

Beliau merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi daripada Washington University, Amerika Syarikat, serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada University of Warwick, United Kingdom. - Bernama