Semua surau di R&R Lebuhraya PLUS, LPT2 dibuka semula

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), PLUS Malaysia Bhd (PLUS) telah membuka semula semua suraunya yang terletak di 24 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) termasuk dua Restoran Jejantas berkuat kuasa 10 Jun.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, surau terbabit termasuk di R&R arah utara dan selatan iaitu Gurun, Gunung Semanggol, Sungai Perak, Tapah, Rawang, Dengkil, Seremban, Ayer Keroh, Pagoh, Machap, Gelang Patah serta Restoran Jejantas Sungai Buloh dan Ayer Keroh.

Beliau berkata, begitu juga di sepanjang Pantai Timur, surau di R&R Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) iaitu Perasing, Paka dan Ajil (kedua-duanya arah timur) telah dibuka semula.

Bagaimanapun, semua surau di plaza tol PLUS kekal ditutup kepada orang ramai sehingga notis lanjut.

“Kami ingin menekankan bahawa perjalanan di lebuh raya dalam normal baharu ini akan mengambil masa yang lebih lama kerana prosedur operasi standard (SOP) keselamatan akan dilaksanakan sepenuhnya kepada semua yang mengunjungi R&R kami.

“Semasa PLUS menjalankan pemeriksaan suhu badan di semua R&R dan kebersihan makanan menjadi keutamaan selain kebersihan keseluruhan di kawasan itu termasuk parkir kereta, kami menggesa semua orang mengambil langkah berjaga-jaga kerana kita saling menjaga keselamatan dan kesejahteraan sesama sendiri selaras dengan nasihat kerajaan iaitu Kita Jaga Kita,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kemudahan R&R dan Restoran Jejantas PLUS telah dibersihkan dengan teliti dan disanitasi yang menyaksikan setiap ruang solat dan tempat mengambil wuduk mempunyai penanda penjarakan sosial untuk mematuhi peraturan jarak satu meter.

Pengguna lebuh raya digalakkan membawa sejadah dan telekung mereka sendiri bagi memastikan kebersihan diri terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Bergantung kepada saiz dan susunan setiap surau, notis pemberitahuan menunjukkan bilangan jemaah terhad yang dibenarkan pada satu-satu masa akan dapat dilihat dengan jelas manakala pendaftaran adalah diwajibkan bagi tujuan pengesanan kontak. - Bernama