32 premis dandanan, gunting rambut dikesan naikkan caj

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Sebanyak 32 premis penyedia perkhidmatan dandanan dan gunting rambut di Perak didapati menaikkan caj bagi perkhidmatan yang disediakan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, V Ravichandran berkata, semua premis itu dikesan menaikkan caj perkhidmatan dalam pemeriksaan khas Ops Catut 7.0 (Dandanan dan Gunting Rambut) di sekitar Perak, sejak Rabu apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.

"Sepanjang tempoh tiga hari operasi, 59 premis diperiksa dan daripada jumlah itu, 32 didapati menaikkan caj yang membawa kepada 64 tindakan penyampaian Notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 diambil," katanya kepada pemberita selepas memeriksa sebuah premis di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun KPDNHEP tidak mengawal caj perkhidmatan dandanan dan gunting rambut, namun peniaga wajib mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan termasuk penandaan caj perkhidmatan serta tiada kenaikan caj perkhidmatan dengan niat mengambil keuntungan tidak munasabah.

Mengenai pematuhan PKPP, Ravichandran berkata, daripada keseluruhan 59 premis yang diperiksa, 54 daripadanya mematuhi sepenuhnya manakala lima lagi diberi nasihat dan amaran. - Bernama

Artikel Berkaitan: