Lelaki disyaki mabuk punca kemalangan

Kemalangan yang berlaku membabitkan dua kenderaan di Jalan Setulang Daeng, Bukit Rambai malam tadi.
Kemalangan yang berlaku membabitkan dua kenderaan di Jalan Setulang Daeng, Bukit Rambai malam tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis masih menjalankan siasatan berhubung video tular membabitkan kemalangan di Jalan Setulang Daeng, Bukit Rambai di sini malam tadi.

Video berdurasi satu minit 10 saat yang berlaku kira-kira jam 9 malam tadi memaparkan keadaan kecoh di atas jalan membabitkan pemandu sebuah kereta Peugeot disyaki mabuk dan didakwa punca berlakunya kemalangan dengan sebuah kenderaan lain dinaiki enam sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia 3 hingga 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan kereta Peugeot dipandu lelaki berusia 34 tahun dengan sebuah kereta Toyota yang dipandu seorang peniaga berusia 52 tahun.

Kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Setulang Daeng, Bukit Rambai malam tadi.
Kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Setulang Daeng, Bukit Rambai malam tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu pekerja swasta terbabit dari arah Batang Tiga menuju ke Bukit Rambai memasuki laluan bertentangan ketika memotong sebuah motosikal.

"Tindakan itu menyebabkan kenderaannya bertembung dengan Toyota Vios yang dinaiki keluarga berkenaan yang beralamat di Masjid Tanah.

"Setakat ini pemuda itu berjaya dikesan dan telah tampil membuat laporan manakala pemandu kereta Toyota Vios juga telah dikesan, namun belum membuat sebarang laporan polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Afzanizar berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemuda tersebut didapati negatif dadah, namun sampel darah akan diambil di hospital untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih diteruskan. Lelaki itu disyaki mabuk tapi kita akan menunggu pengesahan laporan kandungan alkohol dalam darah dari hospital," katanya.

Dalam video itu turut kedengaran beberapa orang awam yang menghampiri kereta Peugeot memaklumkan lelaki itu mabuk hingga berlaku sedikit kekecohan.