Kerajaan akan pinjam RM35 bilion dari pasaran tempatan

Tengku Zafrul ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini. - Foto Bernama
Tengku Zafrul ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meminjam sehingga RM35 bilion dari dalam negara untuk membiayai inisiatif rangsangan ekonomi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang keseluruhannya bernilai RM295 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada keseluruhan nilai inisiatif itu, sejumlah RM45 bilion akan disuntik terus oleh kerajaan dengan RM35 bilion akan dikumpulkan daripada pinjaman tempatan.

Beliau berkata, Malaysia tidak akan mengeluarkan sebarang bon dalam denominasi mata wang asing untuk membiayai suntikan fiskal memandangkan negara mempunyai kedudukan mudah tunai yang kukuh.

“Walaupun kita boleh, secara teknikal, ini memandangkan had kita adalah RM35 bilion dan pendedahan semasa kita dari segi pinjaman asing kira-kira RM13 bilion. Kita (masih) mempunyai kapasiti sebanyak 15 peratus lagi untuk meminjam.

“Berdasarkan mudah tunai setakat ini, terutama bagi ringgit, kita melihat (tidak ada) sebab mengapa kita perlu mengeluarkan bon mata wang asing,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi KWSP, Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.

Tengku Zafrul berkata, suntikan fiskal di bawah Penjana sahaja bernilai RM10 bilion yang akan dikumpulkan menerusi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan setakat ini tidak merancang untuk mendapatkan dividen khas daripada syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Artikel Berkaitan:

Menteri Kewangan juga optimis Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan meningkat semula pada suku ketiga dan keempat tahun ini susulan aktiviti ekonomi tempatan dan global kembali beroperasi.

"Amat diharapkan kita dapat menyaksikan angka yang lebih baik pada Jun dan momentum itu berterusan sehingga Julai, Ogos dan September.

“Jadi suku ketiga akan mengalami pertumbuhan lebih baik, saya amat yakin,” katanya.

Tengku Zafrul juga menjangkakan defisit fiskal meningkat kepada 5.8 hingga 6.0 peratus susulan pelaksanaan Prihatin dan Penjana. - Bernama