MOF belum dimaklumkan kos PRU15

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat KWSP hari ini. -Foto Bernama
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat KWSP hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan tidak menerima makluman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kos keseluruhan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya diadakan dalam tempoh krisis pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya juga belum membuat analisis mengenai perkara tersebut terlebih dahulu.

"Saya tidak dimaklumkan oleh Datuk Azhar Azizan Harun (Pengerusi SPR).

"Kita belum buat analisis, tapi kalau kena (diadakan PRU15), kenalah," katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi pertama beliau di Ibu Pejabat KWSP, Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Beliau mengulas ketika ditanya mengenai kemampuan kerajaan bagi menampung kos keseluruhan PRU15 yang dijangka meningkat berdasarkan keperluan akibat pandemik Covid-19.

Semalam, dalam sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, Azhar Azizan memaklumkan bahawa perbelanjaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai depan mencecah RM4.7 juta iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding PRK Rantau sebelum ini dengan kos RM1.87 juta.

Bagi PRU14 lalu, beliau berkata, kira-kira RM600 juta diperuntukkan untuk kos keseluruhan maka sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, kos tersebut akan meningkat berdasarkan perbandingan kos PRK Rantau dan Chini.

Artikel Berkaitan: