Singapura catat 463 kes baharu Covid-19, 18 dalam komuniti

No Image Caption
A
A
A

SINGAPURA - Singapura melaporkan 463 lagi kes jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 39,850 kes di republik itu.

Data awal setakat tengah hari, menunjukkan terdapat 18 kes dalam komuniti melibatkan lapan warga Singapura atau penduduk tetap manakala 10 lagi pemegang permit kerja.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan, daripada jumlah tersebut, lima daripadanya adalah kontak rapat kepada kes-kes terdahulu dan telah dikuarantinkan.

"Daripada siasatan awal kami, lima lagi kes ditemukan daripada pemantauan dan saringan yang dijalankan terhadap pekerja perkhidmatan penting dan orang yang bekerja di asrama," menurut kenyataan itu dan menjelaskan bahawa siasatan epidemiologi sedang dijalankan terhadap lapan kes yang lain.

Kementerian itu memaklumkan sebahagian besar kes hari ini adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Berdasarkan data terperinci yang dikeluarkan lewat Khamis, Singapura mengklasifikasikan 1,764 sebagai kes jangkitan dalam komuniti, 580 kes import dan 37,043 kes lagi melibatkan pekerja asing tinggal di asrama.

Secara keseluruhannya, 27,286 kes Covid-19 atau kira-kira 70 peratus daripada 39,387 kes keseluruhan setakat semalam telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti komuniti.

Sehingga Khamis, terdapat 227 kes positif yang masih dirawat di hospital dengan dua berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, 11,849 kes yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal tetapi positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat ini, 25 telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 di republik itu.

Enam kluster baharu dikenal pasti semalam melibatkan asrama di 15 Kaki Bukit Cresent; 9 Kian Teck Drive; 1A Pioneer Sector Walk; Potong Pasir Avenue 1; 214 Tagore Lane; dan 200A Tuas South Boulevard. - Bernama