Virus mati punca pesakit sembuh kekal positif Covid-19

Gambar kecil: Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Gambar kecil: Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pesakit koronavirus (Covid-19) yang telah sembuh, namun masih kekal positif adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus (deoxyribonucleic acid atau DNA) yang telah mati.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kajian yang dilakukan pihaknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil kajian kultur yang dijalankan berulang kali menunjukkan virus Covid-19 gagal dibiakkan.

"Berdasarkan pemantauan KKM dalam pengurusan pesakit Covid-19, ujian rt-PCR Covid-19 bagi kebanyakan pesakit yang telah sembuh masih kekal menunjukkan keputusan yang positif dalam jangka masa yang panjang meskipun apabila mereka telah sembuh," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, ujian rt-PCR sememangnya sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus.

"Walaupun mereka masih dikesan positif, namun mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat," katanya.

Beliau berkata, penemuan serupa juga telah dilaporkan dari beberapa negara seperti Korea, China, Singapura dan Jerman.

"Kajian di China menunjukkan bahawa kebolehjangkitan berlaku 2.3 hari sebelum bermula gejala dan berada pada tahap tertinggi 0.7 hari sebelum pesakit bergejala.

Artikel Berkaitan:

"Kebolehjangkitan menurun ke tahap yang sangat rendah selepas tujuh hari," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kajian di Taiwan pula mendapati bahawa selepas lima hari pesakit dijangkiti Covid-19, mereka tidak menyebarkan jangkitan kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit ini.

"Penemuan kajian di Korea pula menunjukkan walaupun 25.9 sehingga 48.9 peratus bekas pesakit Covid-19 telah disyaki kembali positif semula selepas discaj, ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas 790 kontak rapat bagi 285 bekas pesakit tersebut telah menunjukkan mereka tidak dijangkiti.

"Ini bermakna sememangnya sudah tiada kebolehjangkitan di kalangan bekas pesakit Covid-19 tersebut," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pemantauan tersebut bertepatan dengan hasil siasatan yang mendapati bahawa tempoh berjangkit atau infectious period bermula dua hingga tiga hari sebelum gejala bermula dan kemuncaknya sehari sebelum gejala.

"Tempoh berjangkit juga didapati menurun ke paras yang sangat rendah dalam masa tujuh hari selepas itu.

"Ini selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam 'Clinical management of Covid-19, Interim guidance, May 2020' bahawa kebanyakan pesakit positif Covid-19 hanya boleh menyebarkan penyakit ini dalam jangka masa 10 hari daripada permulaan penyakit.

"Sehubungan itu, KKM telah mengemaskini garis panduan discaj pesakit Covid-19," katanya.

Menurutnya, pesakit dengan jangkitan Covid-19 yang disahkan oleh makmal boleh didiscaj dari wad penyakit

berjangkit apabila sekurang-kurangnya tiga hari atau 72 jam pulih daripada demam tanpa menggunakan ubat demam serta gejala pernafasan misalnya batuk dan sesak nafas telah bertambah baik.

"Selain itu, keadaan pesakit itu sekurang-kurangnya 14 hari telah berlalu sejak gejala bermula," katanya.

Tambahnya, bagi pesakit tidak bergejala, mereka akan dibenar discaj selepas 14 hari telah berlalu sejak tarikh ujian diagnostik Covid-19 didapati positif, dengan anggapan mereka tidak mengalami sebarang gejala selepas ujian positif mereka.

"Ujian pengesanan Covid-19 tidak diperlukan sebelum pesakit didiscaj dari wad penyakit berjangkit.

"Sekiranya pesakit masih memerlukan rawatan perubatan selain rawatan Covid-19, mereka boleh dipindahkan ke wad lain," katanya.