Pegawai bomba hembus nafas terakhir di pangkuan ketua

Jenazah dibawa ke kampung halaman untuk dikebumikan. Gambar kecil: Jeffrey
Jenazah dibawa ke kampung halaman untuk dikebumikan. Gambar kecil: Jeffrey
A
A
A

IPOH - Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuala Kangsar berhampiran lampu isyarat Bandar Baru Seri Klebang di sini hari ini.

Mangsa, Jeffrey Abdullah,47, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ketuanya, Mohd Hamidi Manas yang kebetulan melalui kawasan kejadian sekitar jam 7.25 pagi.

Mohd Hamidi berkata, beliau yang dalam perjalanan menuju ke tempat kerja bergegas mendapatkan mangsa setelah mengecam motosikal jenis Honda RS100.

"Melihat nombor pendaftaran motosikal itu, saya pasti itu motosikal miliknya dan saya terus berhenti di tepi jalan untuk mendapatkan arwah.

"Saya seolah-olah tidak percaya yang terlibat dalam kemalangan itu adalah rakan setugas yang saya sangat hormati," katanya.

Menurutnya, mereka sempat meraikan hari persahabatan sempena perkhidmatan dalam Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

"Baru semalam kami bersama anggota-anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput meraikan arwah selepas sahabatnya dari Kuala Lumpur menempah sebiji kek untuknya.

"Kehilangannya hari ini amat dirasai tambahan arwah merupakan pegawai yang komited dan disenangi oleh semua anggota," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, jabatan kehilangan pegawai yang berdedikasi dan berpengalaman dalam bidang menyelamat.

"Arwah seorang yang mudah beri kerjasama ketika bertugas selain berpengalaman kerana beliau merupakan bekas anggota SMART yang pernah terlibat dalam pelbagai misi termasuk di luar negara.

"Arwah berkhidmat dalam JBPM sejak 25 tahun lalu," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan dada.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, mangsa yang menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan menuju ke Sungai Siput.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada kereta Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 36 tahun yang dipandu dari arah bertentangan memasuki simpang di lokasi kejadian.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipandu dari arah Sungai Siput yang masuk simpang sebelah kanan jalan.

"Mangsa mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian. Mayat mangsa dibawa ke HRPB di sini," katanya.

Zakaria berkata, hasil bedah siasat mengesahkan kematian mangsa disebabkan 'head and chest injuries consistent with road traffic crash'.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Allahyarham Jeffrey dikebumikan di kampung halaman di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Medan, Parit.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Yuhazlina Muktar dan enam anak.