Umno bangkit dari kejutan

No Image Caption
A
A
A

JERTIH - Ahli-ahli Umno khususnya di Daerah Besut telah dapat menerima kenyataan kekalahan parti itu serta status sebagai pembangkang.

Naib Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, mereka kini telah bangkit bekerja untuk memenangkan semula parti pada PRU15 akan datang.

Walaupun berdepan cabaran besar, beliau mengakui mereka kini bekerja tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan atau upah tidak sebagaimana ketika menjadi kerajaan dahulu.

“Dahulu pekerja parti sering dikaitkan dengan gaji atau upah atas setiap yang mereka lakukan tetapi sekarang mereka faham situasi yang berlaku.

“Malah saya nampak mereka semakin bersemangat bekerja secara sukarela untuk perjuangkan nasib yang menimpa rakyat sekarang,” katanya yang juga Adun Jertih.

Beliau berkata demikian selepas wawancara bersama Sinar Harian bertajuk Cabaran Berbakti Ketika Tiada Kuasa menerusi program Sinar Live semalam.

Muhammad Pehimi berkata, walaupun sudah tidak berkuasa tetapi beliau meneruskan tugas menyantuni rakyat dan pengundi di kawasannya.

Menurutnya, dengan segala kekangan iaitu kuasa, kewangan dan kemudahan menyebabkan usaha membantu rakyat sedikit terbatas.

Artikel Berkaitan:

“Tapi kita terus mendekati rakyat untuk membantu setakat termampu dan membawa isu yang dihadapi oleh rakyat kepada kerajaan negeri ataupun persekutuan,” katanya.

Di pihaknya, Muhammad Pehimi berkata, beliau tidak menjadikan kekalahan Umno di peringkat negeri dan Pusat sebagai alasan untuk tidak membantu rakyat sebaliknya terus mengambil inisiatif turun padang melawat penduduk yang uzur, kematian, kenduri mahupun yang berdepan dengan pelbagai masalah.

Menurutnya, bukan sahaja pekerja yang memahami situasi dihadapi Umno yang menjadi pembangkang, malah pengundi sendiri sedar perkembangan itu.

“Misalnya kalau dijemput majlis kenduri, mereka mahu saya hadir ke majlis mereka sahaja kerana mereka tidak harapkan apa-apa,” katanya.