Terharu dapat solat di masjid walau tak mampu jalan sempurna

Razali (tengah) bersama pihak pengurusan masjid selepas menunaikan solat Jumaat di masjid itu hari ini.
Razali (tengah) bersama pihak pengurusan masjid selepas menunaikan solat Jumaat di masjid itu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas meluahkan rasa gembira dan terharu kerana masih berpeluang menunaikan solat berjemaah di masjid walaupun kedua belah kakinya mengalami masalah dan tidak boleh berjalan dengan sempurna.

Razali Mohamad, 71, yang merupakan bekas pemain bola sepak Terengganu berkata, peluang yang diberikan itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Saya rasa amat gembira dan terharu kerana masih diberi peluang menunaikan solat berjemaah di masjid.

"Sudah 30 tahun saya solat di masjid ini, jarang sekali saya tidak solat di masjid dalam tempoh yang lama seperti ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sebelum ini.

"Masa tu rasa sedih sangat sebab tak boleh ke masjid. Sekarang saya gembira sangat dan bersyukur," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (MABS), Ladang di sini hari ini.

Razali yang berasal dari Kampung Bukit Besar di sini berkata, dia berharap supaya pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda segera pulih sepenuhnya bagi membolehkan segenap lapisan masyarakat meneruskan rutin harian seperti biasa.

"Marilah kita sama-sama mendoakan yang terbaik agar kita dapat lakukan rutin harian seperti biasa.

"Peluang dapat tunaikan solat beramai-ramai begini jangan disia-siakan," katanya yang pernah menjulang nama Terengganu selaku johan dalam sukan bola sepak bagi kategori bawah 20 tahun pada 1967.

Artikel Berkaitan:

Solat Jumaat di MABS hari ini menyaksikan seramai 287 jemaah berpeluang menunaikan solat bersama dengan seramai 56 jemaah menerima surat jemputan selebihnya datang terus ke masjid.

Solat Jumaat itu diimamkan oleh Mohd Faizul Mohd Kesah dengan tajuk khutbah Ramadan Berlalu Dimanakah Kita yang disampaikan selama tujuh minit.

Berdasarkan tinjauan, MABS mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan melakukan beberapa proses saringan seperti pemeriksaan suhu badan dan pemakaian cecair pembasmi kuman sebelum para jemaah dibenarkan memasuki ruang solat di masjid itu.