X

Kindly register in order to view this article
!

Pas My30 boleh mula digunakan Isnin ini

Muhammad Nizam Alias
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna perkhidmatan awam di bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) boleh menikmati perjalanan tanpa had serendah RM30 sebulan di bawah program My30 bermula Isnin ini.

Kemudahan tersebut boleh digunakan bagi pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT), Aliran Transit Ringan (LRT), Monorel, Bus Rapid Transit (BRT) dan bas Rapid KL.

Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias berkata, pakej My30 merupakan gantian sementara bagi pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 bertujuan membantu rakyat terkesan dengan koronavirus (Covid-19).

"My30 ibarat harga sekeping roti canai RM1 sehari. Anda boleh menggunakan perkhidmatan MRT, LRT, Monorel, BRT dan semua bas henti-henti Rapid KL di samping bas perantara berulang-alik dan tanpa had dalam masa satu hari.

"Ini sememangnya satu penjimatan yang cukup hebat untuk semua rakyat Malaysia di Lembah Klang,” katanya pada sesi wawancara di sebuah stesen TV pagi ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan inisiatif My30 semasa Program Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek Penjana pada 5 Jun lalu.

Muhammad Nizam berkata, pakej istimewa etrsebut sah laku untuk tempoh enam bulan sehingga Disember ini.

"Pendaftaran My30 boleh dibuat di semua 122 stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan lima hab bas di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam, Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing Isnin ini.

"Kami berharap pengguna dapat memanfaatkan My30 sebaiknya dan terus menggunakan rangkaian perkhidmatan Rapid KL. Sejurus selepas berakhir promosi untuk My30 ini, pakej-pakej My100 dan My50 akan dijual semula mulai 1 Januari 2021,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pas My30 daripada kakitangan Rapid KL bertugas atau melayari media sosial Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!