Covid-19: Tiada jangkitan ketika proses pembelajaran di madrasah

Manolito Mohd Dahlan
Manolito Mohd Dahlan
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata) menegaskan tiada kes jangkitan koronavirus (Covid-19) berlaku di kalangan pelajar dan kakitangan ketika proses pembelajaran.

Presidennya, Manolito Mohd Dahlan berkata, ini kerana pusat pengajian institusi itu telah ditutup hampir tiga bulan lalu.

"Apa yang berlaku, pelajar telah pun diberi cuti dan mungkin berlaku interaksi di luar sehingga menyebabkan ada yang disahkan positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, madrasah dan tahfiz terkesan kerana dikaitkan dengan kluster terbesar iaitu Perhimpunan Sri Petaling.

"Bagaimanapun Permata menggesa 1,500 madrasah dan pusat tahfiz yang berdaftar di bawah persatuan untuk memberi kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memerangi Covid-19," katanya.

Beliau berkata, madrasah dan pusat tahfiz telah melaksanakan ujian saringan dan nyahkuman.

"Jika di Perak, 116 madrasah telah melakukan swab dan ujian saringan begitu juga dengan beberapa negeri lain," katanya.

Bagaimanapun Manolito berkata, ada segelintir pelajar dan kakitangannya diarah pulang oleh pejabat kesihatan kerana tidak mempunyai kontak rapat dengan kes positif serta kluster tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Ada pelajar kita pergi ke klinik kesihatan untuk membuat saringan tetapi diarahkan pulang kerana tiada kontak rapat," katanya.

Sebanyak 1,500 institusi madrasah dan tahfiz bergerak di bawah Permata yang mana mempunyai 75,000 pelajar dan 25,000 kakitangan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengesan madrasah dan pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan persendirian.

Pihaknya telah membuat saringan terhadap lebih 428 madrasah melibatkan 22,973 pelajar, guru dan kakitangan.

Daripada jumlah itu, 706 disahkan positif Covid-19.

Madrasah dan tahfiz dikaitkan dengan Kluster Perhimpunan Sri Petaling selepas KKM mendapati kes indeks ada mengunjungi pusat

pengajian tersebut selepas menghadiri perhimpunan tabligh.

Sehingga semalam, sebanyak 41, 750 sampel telah diambil daripada Kluster Perhimpunan Sri Petaling dan 3,375 disahkan positif Covid-19.