Covid-19: Madrasah tahfiz rayu benarkan operasi semula

Manolito menunjukkan SOP yang diserahkan kepada Zulkifli hari ini.
Manolito menunjukkan SOP yang diserahkan kepada Zulkifli hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata) merayu kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan pembukaan semula operasi institusi tersebut bagi kelangsungan institusi berkenaan.

Presidennya, Manolito Mohd Dahlan berkata, pihaknya telah menyediakan garis panduan pengurusan (SOP) koronavirus (Covid-19) di institusi pengajian tersebut.

"Bukan sekadar SOP, malahan kami juga telah membuat simulasi terhadap SOP ini di salah sebuah pusat tahfiz di Janda Baik Pahang yang turut dihadiri oleh Majlis Keselamatan Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum dan membentangkan SOP kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri di sini hari ini.

Menurutnya, SOP yang disediakan pihaknya lebih ketat bagi memastikan persekitaran selamat dan bebas jangkitan Covid-19.

"Antara yang terkandung di dalam SOP tersebut adalah pelajar yang sihat dan disahkan bebas Covid-19 sahaja dibenar kembali ke asrama," katanya.

Beliau berkata, semua peralatan dan beg yang dibawa masuk hendaklah dinyahkuman.

"Ini adalah salah satu tambahan peraturan yang kita lakukan walaupun tidak terkandung dalam SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Manolito berkata, pihaknya berharap madrasah dan tahfiz dapat meneruskan operasi pada 24 Jun ini.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tidak dapat memberi kebenaran secara penuh, kami mohon agar diberi kebenaran beroperasi secara berperingkat.

"Mungkin pada permulaan ini hanya pelajar yang menghafal 15 juzuk ke atas sahaja dibenar belajar di madrasah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak madrasah di bawah Permata terpaksa ditutup berikutan tidak mampu menampung pembiayaan kos operasi.

"Madrasah dan pusat tahfiz ini bergantung sepenuhnya kepada yuran pengajian pelajar, jadi apabila ditutup akibat Covid-19, kami hilang sumber kewangan," katanya.

Menurutnya, bukan sekadar hilang sumber pencarian, malahan ibu bapa dan pelajar juga berdepan dengan tekanan emosi apabila sudah lama berada di rumah.

"Ibu bapa sudah berasa tertekan. Anak di rumah sudah hilang kawalan, pelajar juga sudah hilang tumpuan dan fokus," katanya.