Covid-19: 11 individu kes import masuk wad di lima hospital

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 11 kes import melibatkan rakyat Malaysia yang dilaporkan positif wabak koronavirus (Covid-19) di Melaka semalam telah dimasukkan ke hospital di lima buah negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di Facebook miliknya malam tadi berkata, daripada 11 kes tersebut, masing-masing empat di Hospital Tumpat, Kelantan dan Hospital Sungai Buloh, Selangor serta masing-masing satu kes di Hospital Melaka, Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Menurutnya, kumpulan tersebut merupakan pelajar Malaysia yang baru pulang dari Mesir yang telah disaring untuk sampel kedua pada 9 Jun 2020 dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk menyambung tempoh kuarantin di rumah memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa mulai 10 Jun 2020.

"Setelah keputusan sampel didapati positif Covid-19, mereka telah dimasukkan ke dalam wad di hospital (di lima negeri terbabit).

"Kesemua mereka tidak bergejala dan stabil. Kes-kes ini dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian," katanya.

Jelasnya, mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes disahkan Covid-19 dan tidak bergejala lebih dari 10 hari adalah tidak mempunyai risiko transmisi kepada orang lain dari tarikh disahkan positif.

Semalam, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan 11 kes import melibatkan pelajar dari Mesir terdiri daripada pelbagai negeri.

Katanya, kesemua mereka berada di pusat kuarantin di Melaka sebaik sahaja tiba di negara ini.

Artikel Berkaitan: