PKPP: JAIPk benar kuliah maghrib

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membenarkan kuliah pengajian diadakan bemula hari ini di semua masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kebenaran itu telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas JAIPk melihat dengan teliti dan berbincang dengan Pejabat Mufti Perak mengenai keperluan tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun kuliah pengajian tersebut hanya dibenar diadakan selepas solat Maghrib dengan tempoh tidak lebih 30 minit.

"Kita telah berbincang dan meneliti tentang perkara ini kerana memikirkan tempoh antara waktu solat Maghrib dan solat Isyak terlalu singkat serta menyukarkan jemaah untuk keluar masuk ke masjid dan surau.

"Guru-guru yang akan mengajar mestilah dalam kalangan mereka yang mempunyai tauliah dan bukan dari luar Perak. Lebih baik lagi jika guru tersebut merupakan ahli kariah masjid atau surau," katanya ketika ditemubual PerakFM, hari ini.

Mohd Yusop berkata, sekiranya tiada guru yang boleh mengajar, imam masjid atau surau dibenarkan untuk memberikan tazkirah kepada jemaah.

Katanya, pelaksanaan kuliah pengajian tersebut juga perlu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial dan tidak boleh menggunakan mikrofon.

Beliau berkata, sekiranya jemaah ingin membaca al-Quran, mereka perlu membawa sendiri dari rumah atau membaca melalui aplikasi di dalam gajet masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam kenyataannya memaklumkan semua masjid dan surau di Perak dibenarkan menerima jemaah seramai 40 orang bagi solat fardu dan solat Jumaat mulai esok.

Perkara itu selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan setelah merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Mohd Yusop menjelaskan jumlah keseluruhan jemaah termasuk ahli jawatankuasa masjid dan surau seramai 50 hingga 52 orang.

Menurutnya, pemilihan ahli jemaah seramai 40 orang ditentukan sendiri oleh ahli jawatankuasa kariah itu sendiri mengikut sistem penggiliran.

"Pihak JAIPk menyerahkan kepada kebijaksanaan ahli jawatankuasa kariah untuk menentukan siapa jemaah yang dipilih untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau kerana mereka ada data ahli-ahli kariah masing-masing.

"Kita sarankan mereka buat sistem penggiliran sama ada mengikut lorong taman, rumah dan sebagainya agar semua dapat merasa untuk solat berjemaah," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusop mengingatkan semua jemaah agar mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan tiada kes jangkitan baharu berlaku koronavirus (Covid-19).

Katanya, jemaah yang terpilih perlu menjalankan tanggungjawab agar tidak wujud kluster baharu membabitkan individu yang menunaikan solat berjemaah mahupun solat Jumaat.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya belum membenarkan wanita untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid memandangkan jumlah yang masih terhad kepada 40 orang.

Jelasnya, keputusan itu bukan bermaksud mendiskriminasi wanita sebaliknya kewajipan solat berjemaah di masjid disyariatkan kepada kaum lelaki.