Radhi mahu istikharah dulu jika dilamar KFA

Radhi Mat Din
Radhi Mat Din
A
A
A

LEGENDA Kedah, Radhi Mat Din mahu melakukan solat sunat istikharah terlebih dulu jika mendapat lamaran Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi membantu badan induk itu.

Menurut Radhi, beliau sedia maklum dengan khabar angin di media sosial bahawa dirinya adalah antara calon kegemaran para peminat dan penyokong Lang Merah untuk mengisi jawatan Setiausaha Kehormat KFA.

“Secara peribadi, saya tidak layak menggalas jawatan itu (Setiausaha Kehormat KFA). Saya berpendapat ia beban cukup besar kerana membawa imej negeri.

“Jika saya mendapat arahan pimpinan untuk membantu KFA bagi tugas-tugas lain, mungkin saya akan pertimbang. Apa pun saya perlu (solat sunat) istikharah dulu untuk mohon petunjuk,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Radhi berkata, beliau percaya presiden baharu KFA akan meletakkan individu paling sesuai di posisi setiausaha kehormat kerana jawatan itu adalah antara yang terpenting dalam persatuan.

“Perkara ini bukan main-main dan sebab itu perlu melantik individu yang tahu tentang bola sepak dan juga bagaimana untuk menguruskannya. Kedah pula adalah pasukan yang menjadi tumpuan di negara ini,” jelasnya.

Menerusi laporan sebuah media baru-baru ini, Radhi kini menjadi tumpuan bersama beberapa individu lain, antaranya bekas Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar bagi menggalas jawatan tersebut.

“Apa yang dikatakan oleh penyokong Kedah itu hanyalah pandangan. Kawan-kawan saya juga ada menyatakan saya sesuai tapi saya anggap itu pandangan mereka semata-mata.

Artikel Berkaitan:

“Jawatan itu besar. Kalau setakat peringkat kampung ataupun peringkat Pokok Sena tidak mengapalah,” katanya yang mempunyai sejarah gemilang bersama Kedah ketika bergelar pemain.