AI bendung kecelaruan pematuhan perjalanan

A
A
A

ESOK dan hujung minggu ini, lebuh raya dan jalan utama di Malaysia dijangka sesak kritikal. Kebebasan rentas negeri pasti dimanfaatkan ramai dengan pulang ke kampung halaman.

Selepas 70 hari dikurung, rakyat Malaysia melepaskan rindu bertemu ibu bapa dan adik beradik di kampung. Apatah lagi suasana Aidilfitri masih ada lagi. Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak pantas dengan mewujud pasukan petugas khas yang dikerah bertugas di tempat strategik bagi mengelak sebarang pelanggaran penjarakan sosial dan pematuhan Standard Operating Procedure (SOP).

Ironinya, pada saat Malaysia memberi kelonggaran, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kembali mencetus kebimbangan dengan memberi amaran keadaan pandemik koronavirus (Covid-19) semakin buruk di seluruh dunia. WHO mengingatkan dunia tidak cepat berpuas hati pencapaian mengekang penularan virus berbahaya itu. Penulis percaya agak sukar untuk membendung tingkah laku pengguna sekiranya jumlah mencecah jutaan orang.

Sentiasa terbayang di benak pemikiran penulis gambaran kesesakan di perhentian rehat lebuh raya. Sebelum inipun kesesakan di lebuh raya dan perhentian rehat sukar dikawal. Anggota Rela terpaksa membantu. Apatah lagi dengan pengenalan SOP normal baharu. Jika disorot pola di pusat beli belah khususnya pada hujung minggu, kesesakan luar biasa sudah boleh ditelah.

Penulis percaya perjalanan rentas negeri sejak tiga hari lalu, memeningkan kepala pihak berkuasa. Sekalipun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan SOP sepanjang tempoh pemulihan, namun angka perjalanan pasti melibatkan jutaan orang. Kelegaan terbaharu ini, pasti menyemarakkan semangat rakyat Malaysia sehingga mungkin ada yang terlupa SOP ditetapkan kerajaan.

Penulis cuba membayangkan tahap kepatuhan pengguna lebuh raya ketika di stesen minyak atau perhentian rehat. Sudah pasti ada yang mahu menghirup teh panas sambil makan mi udang di Perhentian Rehat Tapah. Atau menikmati roti bakar di Perhentian Rehat Behrang. Atau kopi panas dan nasi lemak bungkus di Perhentian Rehat Seremban. Setelah itu, pasti ada yang mahu ke tandas atau surau.

Justeru, penulis mencadangkan proses pengawalan dan pemantauan sepanjang PKPP dikuatkuasa berdasar teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI). Data perjalanan termasuk maklumat tingkah laku dan pelanggaran SOP normal baharu berteraskan AI.

Antara sumber data yang boleh diperoleh ialah dengan membanding pelepasan cahaya pada waktu malam. Dengan cara ini, data penginderaan satelit dapat mengesahkan permasalahan di lapangan secara tepat. Data pelepasan cahaya malam, kelas baru data penginderaan jauh, mengukur jumlah cahaya yang dihasilkan pada waktu malam pada kawasan tertentu dapat digunakan bagi memantau perkembangan serta kesan ancaman kesinambungan secara signifikan.

Artikel Berkaitan:

Fakta

Sebagai seorang practitioner pelan perancangan berdasar analisis fakta dan angka, penulis yakin analisis data boleh digunakan untuk membantu jabatan yang bertanggungjawab memantau dan mengatasi ancaman berdasarkan kepada realiti sebenar.

Sebenarnya susah untuk memantau tingkah laku manusia. ALLAH SWT telah memberi amaran tentang senario ini dalam Surah Ar-Ruum ayat 41-42 bermaksud, “Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar); Katakanlah: Adakah perjalanan di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang dahulu. Kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah).”

Penulis ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kelonggaran prosedur KKM menerusi PKPP tidak bermakna SOP dan peraturan Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, sudah berakhir. Sebaliknya Akta 342 Bahagian VI, Perenggan 31(2) (0) menyatakan kuasa membuat peraturan-peraturan di bawah seksyen ini boleh mengadakan peruntukan bagi kesemua atau mana-mana perkara berkaitan mengumpul dan menyampaikan maklumat epidemiologi dan kesihatan serta laporan wajib mengenai penyakit berjangkit.

Mungkin sebagai permulaan Malaysia boleh belajar daripada India yang menamatkan lockdown secara kebetulan serentak dengan negara ini. Dengan jumlah penduduk lebih 1.3 bilion, India bertindak pantas dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk mengekang kesan pasca pandemik Covid 19.

Kesimpulan, tempoh sehingga 31 Ogos ini pasti memberi satu gambaran jelas tentang tingkah laku rakyat Malaysia dalam mematuhi SOP normal baharu. Mungkin AI ialah jawapan kepada pola pengawalan pematuhan SOP pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor