Raja tanah, raja air

A
A
A

DUA perkara yang akan membawa krisis besar didunia ialah tanah dan air. Peperangan boleh tercetus berkait perebutan tanah dan air. Dari pertelingkahan dalam masyarakat sehingga perang antara negara, tanah dan air bakal menjadi krisis dan malapetaka besar di seluruh dunia di abad ini jika tidak dikendalikan dengan bijak.

Dalam istilah tempatan orang memiliki banyak tanah digelar raja tanah (land lords). Demikian mungkin sahaja orang yang menguasai sumber air boleh digelar raja air (water lords). Antara keduanya pasti memberi kesan kepada pembangunan sesebuah negara.

Kerana kedua-keduanya memegang kuasa dua sumber terpenting untuk survival. Apatah lagi tanah dan air bertukar menjadi komoditi yang dijual beli sehingga diperniagakan di pasaran bursa saham. Betapa ia menjadi perebutan bukan sahaja antara negara malah direbut oleh syarikat gergasi dalam negara dan juga syarikat antarabangsa.

Krisis tanah sangat menentukan kesinambungan manusia, masyarakat dan negara malah penduduk dunia. Hanya 30 peratus bumi ini diliputi tanah.Tanah bukan hanya jadi rebutan oleh negara-negara untuk menentukan sempadan malah ia dijual beli dan bertukar tangan antara syarikat konglomerat. Tanah pembangunan dan tanah pertanian bersaing. Survival dan jaminan makanan dan kehidupan sangat bergantung kepada tanah.

Tanah dikawasan hutan simpan, tanah tadahan air, tanah khas untuk menghasilkan makanan dan tanah khas untuk pembesaran perbandaran selalunya saling direbut oleh pelbagai pihak. Krisis tanah membawa perbalahan yang kerap diheret ke mahkamah dan ada yang mencetuskan konflik ketenteraan yang mengakibatkan perang.

Ada tanah dicerobohi oleh pihak luar. Paling ekstrem ialah tanah dirampas daripada pemilik asal seperti di Palestin. Konflik berterusan kerana penceroboh tidak mahu menyerah kembali hak penduduk asal. Antara tuntutan terpenting penduduk Palestin ialah menuntut tanah yang dirampas pada 1948 dan pada 1967 dikembalikan dan mendesak mereka yang menjadi pelarian berhak kembali ke tempat kediaman asal mereka.

Di Malaysia urusan tanah adalah di bawah kuasa negeri. Lalu perebutan tanah oleh syarikat yang bermodal besar adakalanya memangsakan pemilik asal yang terpaksa berpindah setelah dibayar pampasan. Syarikat biasanya mampu mempengaruhi Raja tanah dan mengambilalih tanah melalui Akta Pengambilan Tanah oleh kerajaan. Tanah itu kemudiannya diserah kepada syarikat untuk "dimajukan". Maka tanah pertanian, tanah tadahan air, sering menjadi sasaran syarikat untuk dibangunkan dengan projek yang meraih keuntungan lumayan.

Para saintis dan PBB serta kerajaan dunia bertahun-tahun sudah memberi amaran mengenai kemungkinan konflik dunia yang berkait dengan air. Risiko konflik akan meningkat bila permintaan terhadap air melebihi bekalan sebanyak 40 persen pada 2030.

Artikel Berkaitan:

Sebab utama konflik air ialah 1) tahap hujan yang rendah, bekalan air yang tidak mencukupi dan kebergantungan kepada satu sumber sahaja, 2) pertumbuhan populasi dan urbanisasi yang pantas, 3) modenisasi dan industrilisasi 4) sejarah pertempuran bersenjata dan hubungan yang lemah antara negara. Dikatakan kebarangkalian tercetusnya perang hidro-politik adalah antara 75-90 peratus dalam tempuh 50-100 tahun lagi.

Di Malaysia tidak asing berlaku krisis air hampir setiap tahun. Air terletak pada kuasa negeri. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara ditubuhkan adalah untuk melihat isu pengurusan, perkhidmatan dan pembekalan air yang berkualiti dan mencukupi.

Isu air belum dilihat secara komprehensif di Malaysia. Dari soal sumber air hingga kepada pembekalan air bersih. Sejak air diswastakan syarikat pengurusan melihat ia adalah pelaburan yang berpotensi. Bila air bukan lagi menjadi sumber alam semula jadi (baca anugerah Tuhan) tetapi menjadi komoditi untuk meraih keuntungan maka krisis air menjadi kompleks.

Di peringkat kerajaan negeri yang menjadi pemegang syer terbesar dalam syarikat air isu yang sering dibangkitkan ialah isu tarif air. Alasan kos sentiasa menjadi penghalang kepada meningkatkan kecekapan membekal air bersih sering diketengahkan Akan tetapi sumber air dari kawasan tadahan air yang sering diancam oleh pembalakan selalunya tidak diberi perhatian.

Sumber dari air atas tanah (surface water) kini tidak lagi boleh membekal air yang mencukupi. Akibat pemusnahan kawasan hutan, dengan pembalakan yang memberi keuntungan segera kepada negeri, mengeluarkan konsesi pembalakan sering menjadi pilihan kerajaan.

Raja tanah dan Raja air sebenarnya penentu masa depan negara. Jika kerajaan negeri ghairah dengan memusnahkan kedua-duanya dengan menyerahkan kepada syarikat swasta untuk meraih keuntungan segera, manakala kerajaan negeri pula gelojoh untuk mendapat hasil pantas, kemusnahan akan ditanggung oleh generasi mendatang.

Manakala kerajaan pula, beralih tangan kepada parti lain dalam persaingan merebut kuasa politik untuk diri masing-masing. Persetankan tanah rakyat mahupun air rakyat.