Zamrose dilantik Panglima Tentera Darat baharu

Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat (PTD) antara Ahmad Hasbullah dan Zamrose (kanan) di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Mindef
Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat (PTD) antara Ahmad Hasbullah dan Zamrose (kanan) di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Mindef
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-28 berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang bakal bersara wajib pada November tahun ini.

Pelantikan Zamrose memegang jawatan nombor satu dalam pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu, disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Sel Perhubungan Tentera Darat dalam kenyataan berkata, Kementerian Pertahanan dan ATM mengalu-alukan Zamrose untuk menerajui kepimpinan TDM yang bermula hari ini.

Zamrose dilahirkan pada 22 September 1962 di Seremban, Negeri Sembilan dan memulakan kerjaya dengan menyertai latihan sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1980 seterusnya ditauliahkan sebagai Lt Muda pada 24 Januari 1981.

Sepanjang 39 tahun perkhidmatannya, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting dalam TDM dan jawatan terakhir beliau sebelum ini adalah Panglima Medan Timur.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah merupakan anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak.

Kerjaya ketenteraan beliau bermula dengan mengikuti latihan Pegawai Kadet dan telah dipilih mengikuti latihan di Officer Cadet School, Portsea, Australia, sebelum ditauliahkan dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 11 Disember 1981 sebagai Ketua Platun dan berkhidmat di Batalion Ke-25 RAMD.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang perkhidmatan selama 40 tahun dua bulan dalam TDM, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting dan berpengalaman terlibat secara langsung memerangi ancaman komunis serta melaksanakan tugas-tugas pemerintahan, staf dan jurulatih.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad. - Bernama