Tukang gunting harap pelanggan terima kenaikan RM5

Pekerja Gunteng Barber Shopmemastikan kelengkapan keselamatan dipakai sebelum menggunting rambut pelanggan.
Pekerja Gunteng Barber Shopmemastikan kelengkapan keselamatan dipakai sebelum menggunting rambut pelanggan.
A
A
A

KUANTAN - Keputusan kerajaan membenarkan perkhidmatan gunting rambut kembali beroperasi bermula semalam ternyata memberi kegembiraan kepada tukang gunting setelah hampir tiga bulan terputus pendapatan.

Bagaimanapun, operasi perkhidmatan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berbanding sektor lain bagi memastikan keselamatan pelanggan serta mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Oleh demikian, rata- rata tukang gunting di daerah ini berharap pelanggan dapat menerima kenaikan harga perkhidmatan susulan caj tambahan RM5 dikenakan setiap pelanggan bagi penyediaan peralatan SOP berkenaan.

Pengasas Gunteng Barber Shop, Mohd Hafiz Othman, 41 berkata, caj tersebut bagi menampung penyediaan peralatan SOP seperti membeli cecair pembasmi kuman, topeng muka, apron pakai buang dan sarung tangan bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, peralatan itu akan digunakan hanya sekali untuk setiap pelanggan bagi mengelak sebarang jangkitan Covid-19.

"Kita bukan saja- saja mahu menaikkan caj tetapi terpaksa demi keselamatan pelanggan. Bukan sahaja pelanggan yang memakai apron pakai buang, tukang gunting juga terpaksa tukar apron pakai buang dan sarung tangan untuk setiap pelanggan.

"Jadi, peralatan yang digunakan itu terpaksa dibeli dengan pembekal bagi tujuan keselamatan dan kita berharap

pelanggan faham caj tambahan terpaksa dikenakan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedainya di Jalan Tun Ismail hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang sudah enam tahun berkecimpung dalam perniagaan ini berkata, semua peralatan seperti gunting dan pisau cukur perlu dinyahkuman setiap kali bertukar pelanggan.

"Kami terpaksa menggunakan cecair pembasmi kuman yang berkualiti bagi memastikan peralatan tidak mudah berkarat," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hafiz berkata, pihaknya juga menekankan penjarakkan sosial semasa beroperasi di mana maksimum hanya empat pelanggan dalam satu-satu masa.

"Semua pekerja sudah diberikan taklimat secara bagi memastikan mereka betul-betul memahami dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Abu Hamzah, 36 berkata, beliau tidak mahu tergesa-gesa membuka kedai gunting rambut sebelum persiapan untuk peralatan siap sepenuhnya.

Malah katanya, SOP ditekankan kerajaan juga masih belum difahami dengan jelas dan mahu meneliti terlebih dahulu sebelum kedai beroperasi semula

"Jadi saya mahu lihat dahulu kaedah keselamatan dan kebersihan yang diamalkan oleh kedai gunting rambut yang lain.

“Selain itu, saya kena kaji dulu SOP untuk elak jangkitan sebab kalau tidak ikut bukan sahaja kena saman tetapi berisiko berlakunya penyebaran Covid-19," katanya.