Henti lagakan Tun M, Muhyiddin

Sebahagian daripada 375 ahli baharu yang menyerahkan borang keahlian Bersatu Bahagian Sri Gading di Taman Rona, Batu Pahat, Johor hari ini.
Sebahagian daripada 375 ahli baharu yang menyerahkan borang keahlian Bersatu Bahagian Sri Gading di Taman Rona, Batu Pahat, Johor hari ini.
A
A
A

BATU PAHAT - Mana-mana pihak perlu berhenti melaga-lagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya berusaha mencari ruang untuk mereka berdamai.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sri Gading, Rohaizad Rosli berkata, jalan penyelesaian perlu dicari dan bukan terus mengapi-apikan hubungan mereka yang hanya akan memburukkan lagi keadaan.

"Apabila Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dan Dr Mahathir selaku bekas Pengerusi Bersatu tidak lagi bermusuhan dan bersama-sama dalam satu perjuangan seperti sebelum ini, ini secara tidak langsung akan memberi kekuatan kepada Bersatu.

"Pertelagahan antara kedua-dua pemimpin besar ini hanya merugikan, pertemuan antara mereka perlu dilakukan untuk mencari persefahaman sekali gus menamatkan segala kemelut yang berlarutan sehingga kini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima penyerahan borang kemasukan 375 ahli baharu dari sekitar Parit Raja di sini untuk menyertai Bersatu Bahagian Sri Gading di Taman Rona, di sini hari ini.

Rohaizad berkata, Bersatu Sri Gading menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin dan pada masa sama menghargai sumbangan Dr Mahathir kepada negara.

Mengenai peletakan jawatan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya pada 4 Jun lalu, beliau berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat bahagian.

Menurut Rohaizad, walaupun akar umbi bahagian tersebut kecewa dengan keputusan Shahruddin yang menang di Parlimen Sri Gading pada Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket Bersatu, mereka tetap menghormati keputusannya kerana itu merupakan hak beliau.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, Bersatu Sri Gading bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) pada bila-bila masa.