Polis Klang Utara rampas dadah bernilai RM176,370

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hari ini.
A
A
A

KLANG - Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara berjaya merampas 4,056 gram (g) dadah jenis methamphetamine dan heroin bernilai RM176,370 sepanjang tempoh enam bulan tahun ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kesemua rampasan ini melibatkan sebanyak 13 kes yang berjaya diselesaikan sejak awal tahun ini.

"Sejumlah 2,648.7g dadah jenis methamphetamine bernilai RM106,000 serta 1,407.4g heroin berjumlah RM70,370 berjaya dirampas sepanjang tempoh enam bulan ini.

"Rampasan ini turut melibatkan 13 tangkapan terdiri daripada 22 individu warga tempatan dan seorang warga Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan di Jalan Kapar Klang dan merampas dadah jenis heroin seberat 108g.

Menurutnya, tangkapan itu membawa kepada penangkapan tiga lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah.

"Hasil tangkapan pertama telah membawa tangkapan kedua di kawasan Batu 5 Jalan Kapar Klang dan merampas dadah jenis heroin seberat 50g," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati dadah ini dipercayai tujuan pasaran di sekitar kawasan Klang.

"Kesemua suspek ditahan direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.