Tebatan banjir atasi banjir kilat Sungai Penchala

Hamnah (tengah) turun padang meninjau lokasi sungai yang akan dinaik taraf di bawah projek tebatan banjir.
Hamnah (tengah) turun padang meninjau lokasi sungai yang akan dinaik taraf di bawah projek tebatan banjir.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah banjir yang menghantui penduduk Sungai Penchala sejak 15 tahun lalu mendapat perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meluluskan projek tebatan banjir di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan proses tender yang sepatutnya dibuka pada Mei lalu ditangguh pada September ini.

Menurutnya, punca banjir dikesan daripada projek pembangunan sekitar selain limpahan sungai dari pertembungan punca saliran dari Taman Tun Dr Ismail dan hulu Sungai Penchala di kawasan Sungai Penchala Hilir.

"Bagi mengurangkan kesannya, kerja pembersihan sungai yang sebelum ini dilaksanakan sebanyak dua kali setahun ditambah menjadi empat kali setahun bermula awal tahun ini.

"Pada 22 Mei lalu, kerja pengorekan pasir di kawasan sungai ini telah menaikkan kira-kira 500 tan pasir yang diharap hasil penjualan pasir itu dikembalikan kepada DBKL untuk projek pembangunan berkaitan," katanya selepas meninjau tapak projek tebatan banjir di Kampung Sungai Penchala di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya belum diberikan maklumat terperinci berhubung projek tebatan banjir tersebut namun berharap perancangannya benar-benar mengatasi isu utama (banjir kilat).

"Saya dimaklumkan kerja 'soil investigation' sedang dilakukan dan akan disusuli dengan lukisan pelan dan pembukaan tender dijangka September.

"Isu banjir ini telah dibangkitkan beberapa kali ketika dalam mesyuarat sebelum DBKL luluskan projek tebatan banjir Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak pasti tahap keberkesanan projek ini dan saya berharap pihak pakar DBKL dapat sahkannya kerana saya tak mahu DBKL belanja duit tapi isu lama tidak selesai," katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, beliau berharap projek pembangunan yang dilaksanakan sekitar kawasan itu dipantau.

"Banyak kali berlaku banjir kilat di sini namun yang terburuk sebanyak dua kali sejak saya menjadi ahli Parlimen selama 22 bulan. Air surut selepas 20 minit namun setiap banjir kilat akan datang bersama lumpur.

"Sebelum ini beberapa tindakan ada dilakukan cuma saya harap projek terbaru ini benar-benar atasi masalah tersebut dan pada masa sama memantau projek pembangunan sekitar," katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Anak Jati Penchala, Abu Hanifah Hassan berkata, kejadian banjir kilat semakin buruk sejak dua hingga tahun kebelakangan ini disebabkan projek pembangunan di sekeliling.

"Isu banjir ini sudah lama sebenarnya cuma tindakan yang serius atasi masalah ini adalah sewaktu YB Hannah menjadi Ahli Parlimen. Sebelum ini ada juga beberapa tindakan tapi masalah banjir masih berlaku.

"Kali terakhir banjir kilat adalah pada Februari lalu menjejaskan hampir 53 rumah namun keadaannya tidak seteruk pada November tahun lepas," katanya.