KKM nafi benar pelajar Mesir positif Covid-19 pulang ke Kelantan

Pelajar dari luar yang dibawa pulang ke negara ini akan dikuarantin terlebih dahulu selama 14 hari di pusat kuarantin di Melaka.
Pelajar dari luar yang dibawa pulang ke negara ini akan dikuarantin terlebih dahulu selama 14 hari di pusat kuarantin di Melaka.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan membenarkan pelajar Mesir yang positif koronavirus (Covid-19) dihantar pulang ke Kelantan seperti ditularkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelajar dari luar yang dibawa pulang ke negara ini akan dikuarantin terlebih dahulu selama 14 hari di pusat kuarantin di Melaka.

“Sebagai contoh pelajar dari Mesir tidak kira negeri Kelantan atau sebagainya kumpulan ini perlu menjalani ujian swab buat kali pertama, sekiranya didapati positif mereka dimasukkan ke wad dan diasingkan di Melaka.

“Kalau negatif baru kita boleh isytihar mereka bebas daripada Covid-19 dan boleh kembali ke kampung masing-masing,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Terdahulu tular di media sosial mendakwa Kelantan kembali positif Covid-19.

Berdasarkan dakwaan ditularkan tersebut, konon terdapat empat pelajar dari Mesir yang positif Covid-19 dibenarkan pulang ke Kelantan dan berada dalam keadaan stabil dirawat di hospital.

Berdasarkan statistik KKM sehingga hari ini, Kelantan tiada mencatatkan kes baharu dan masih mengekalkan status zon hijau.

Sebelum ini Kelantan merekodkan 153 kes jangkitan Covid-19 dengan tiga kematian.

Artikel Berkaitan: