Sasar 100 peratus susu segar tempatan dalam lima tahun

Ahmad Hamzah mendengar penerangan Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd Azmi Zainal (kiri) ketika melawat ladang dan kilang pemprosesan susu Farm Fresh, keluaran syarikat The Holstein Milk Company Sdn Bhd, hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Hamzah mendengar penerangan Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd Azmi Zainal (kiri) ketika melawat ladang dan kilang pemprosesan susu Farm Fresh, keluaran syarikat The Holstein Milk Company Sdn Bhd, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Kerajaan menyasarkan Kadar Sara Diri (SSL) 100 peratus bagi pengeluaran susu segar dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Industri Tenusu Negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, program itu merupakan inisiatif di bawah Sumber Kekayaan Baharu yang bertujuan memperkasakan dan meningkatkan industri tenusu negara.

Katanya, terdapat lima lembah tenusu yang sedang dan akan terlibat iaitu Lembah Tenusu Muadzam di sini, Lembah Tenusu Muallim dan Lembah Tenusu Larut-Matang-Selama di Perak, Lembah Tenusu Ulu Bernam, Selangor dan Lembah Tenusu Borneo di Sabah dan Sarawak.

"Program ini menyasarkan peningkatan pengeluaran susu negara dengan tambahan 20 juta liter dalam tempoh lima tahun melalui pengimportan 10,000 ekor induk tenusu bunting, sekali gus mengurangkan kebergantungan kita terhadap susu import.

"Penggunaan susu segar negara pada tahun lalu ialah sebanyak 68.8 juta liter dengan hampir 40.6 juta liter dihasilkan dalam negara manakala bakinya diimport termasuk dari Australia dan New Zealand," katanya kepada pemberita selepas melawat ladang dan kilang pemprosesan susu milik The Holstein Milk Company Sdn Bhd (The Holstein) di Muadzam.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Ahmad berkata, fasa permulaan di Lembah Tenusu Muadzam melibatkan penternak dari Pahang, Negeri Sembilan dan Johor merangkumi lapan usahawan berskala besar dan 41 usahawan berskala kecil.

"Lapan usahawan berskala besar termasuk The Holstein menerima insentif berupa lembu tenusu bunting dan peralatan berkaitan tenusu bernilai RM3.93 juta dengan kaedah pembiayaan semula pada nisbah 70:30 antara penternak dan kerajaan.

"Bagi usahawan kecil, setiap peserta menerima lembu tenusu bunting dan peralatan berkaitan tenusu berjumlah RM119,000 dengan nisbah kaedah pembiayaan 70 peratus kerajaan dan bakinya oleh penternak yang dimulakan pada tahun lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad berkata, The Holstein juga dijadualkan memulakan kerja pembersihan tanah di Lembah Tenusu Larut-Matang-Selama bulan depan dalam penyertaaan mereka selaku usahawan berskala besar di situ, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar susu segar terbesar negara.

Katanya, susu yang dihasilkan di Lembah Tenusu itu adalah untuk pasaran di utara tanah air manakala hasil susu di Muadzam difokuskan kepada pasaran pantai timur dan Lembah Klang. - Bernama