RMMJ: Johor bincang isu pengambilan semula tanah di Larkin

Sheikh Umar Bagharib Ali
Sheikh Umar Bagharib Ali
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan mengadakan perbincangan segera berhubung isu pengambilan semula tanah di Kawasan Perindustrian Dato’ Onn, Larkin, oleh Pejabat Tanah negeri bagi membangunkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Tanah berkenaan kini sedang disewa usahawan tempatan melibatkan golongan anak muda yang dikenali sebagai 'Kami Enggan Jadi Orang Susah’ atau KEJOS sebagai tapak perniagaan kecil kecilan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata beliau akan berjumpa dengan Exco dan semua pihak yang terbabit segera bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Saya akan lihat penyelesaian terbaik untuk kepentingan dua pihak yang mana kita menghargai dan mengalukan usahawan muda khususnya dalam industri kreatif ini untuk bergiat aktif dalam industri tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran KEJOS Pusat Sehenti Automotif di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Beliau menegaskan pihaknya mengambil serius isu berkenaan kerana pembangunan idea baharu dan kreatif merupakan antara yang dilihat dapat mengangkat nilai ekonomi belia di negeri ini.

Katanya pembangunan industri kreatif sejajar dengan hasrat kerajaan mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dalam bidang keusahawanan.

"Ekonomi masa akan datang bergantung kepada kreativiti, jadi siapa yang kreatif, dia yang boleh menembusi pasaran," katanya.

Sementara itu, mengenai KEJOS Pusat Sehenti Automotif, Sheikh Umar berkata ia contoh baik yang dibangunkan sekumpulan anak muda negeri ini sekali gus menjadi pencetus pembangunan industri kreatif dalam bidang perniagaan berkaitan barangan automotif dan barangan sokongannya.

Artikel Berkaitan:

KEJOS Pusat Sehenti Automatif merupakan pusat setempat barangan automotif dan permotoran yang diinspirasikan dari konsep 'up garage' yang terkenal di Jepun di mana pelanggan boleh membeli alat ganti kenderaan unik serta barangan 'collector' yang sukar didapati dalam suasana lebih selesa. - Bernama