40 pelajar India tidak berkemampuan ditawar lanjut pengajian

Dr Masri bertukar-tukar dokumen dengan B. Subramaniam (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Biasiswa Pelajar India Johor antara City University Malaysia, Johor Bahru dengan Malaysian Indian Congress Youth Johor (MICJ) di kampus universiti berkenaan hari ini. - Foto Bernama
Dr Masri bertukar-tukar dokumen dengan B. Subramaniam (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Biasiswa Pelajar India Johor antara City University Malaysia, Johor Bahru dengan Malaysian Indian Congress Youth Johor (MICJ) di kampus universiti berkenaan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelajar berketurunan India daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di sini, kini berpeluang melanjutkan pelajaran di City University Malaysia Kampus Johor, menerusi satu inisiatif kerjasama institusi pendidikan berkenaan bersama Pemuda MIC Johor (MICYJ).

Inisiatif berkenaan yang direalisasikan melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, adalah bagi membantu mereka terutama daripada B40 melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi berkenaan.

Ketua City University Malaysia Kampus Johor, Dr Masri Abdul Lasi berkata, pihaknya menaja sebanyak RM451,500 kepada MICYJ untuk diberikan kepada pelajar dalam kalangan masyarakat India yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di universitI berkenaan.

“Seramai 40 pelajar telah dipilih dan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam pengajian Diploma Pentadbiran Perniagaan dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak yang akan bermula Ogos ini.

“Perbincangan antara pihak universiti dan MICYJ menghasilkan satu jalinan kerjasama iaitu pakej bantuan ini adalah untuk membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan dari segi aspek pembayaran yuran pengajian,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu dengan MICYJ di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, B. Subramaniam berkata, pihaknya amat berterima kasih atas keprihatinan pihak universiti terhadap masyarakat India dalam memastikan tidak berlaku keciciran pelajar dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Untuk fasa pertama ini, kita telah mengenal pasti 40 orang yang layak dan menepati kriteria seperti tiga kredit tiga subjek dan daripada golongan berpendapatan rendah. Kita juga akan meneruskan usaha lain dan mungkin selepas ini bantu untuk mengikuti short course (kursus pendek) pula.

“Anggaran kos pengajian seperti Diploma Pentadbiran Perniagaan dalam RM28,000 dan setiap penerima bantuan mendapat sekitar RM9,000 bagi pembayaran jadi sedikit sebanyak ia membantu pelajar mendapat pendidikan demi masa hadapan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, City University Malaysia Kampus Johor mempunyai 26 pelajar dalam kalangan golongan bekerja bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) manakala 11 pelajar dalam Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Master). - Bernama