Peguam Mat Sabu hantar notis tuntutan pada KJ

Mohamad Sabu
A
A

SHAH ALAM - Peguam peribadi kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu akan menghantar notis tuntutan kepada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam masa terdekat.

Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar berkata, ia susulan kenyataan fitnah bekas Ketua Pemuda Umno itu yang mendakwa Mohamad menggunakan jentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika berkempen untuk PH dalam PRK Cameron Highlands.

Katanya, Mohamad kesal dengan kenyataan berkenaan yang dibuat Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kampung Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang hari ini.

"Kenyataan Khairy (Jamaluddin) itu dilaporkan Malaysiakini dalam berita berbahasa Inggeris yang bertajuk “KJ: It's clear, Harapan doesn't practice what it preaches on gov't asset use” dan berita berbahasa Melayu bertajuk “PH cakap tak serupa bikin, guna jentera k'jaan – KJ”.

"Khairy (Jamaluddin) terus mengeluarkan kenyataan fitnah ini walaupun Kementerian Pertahanan sudah pun menjelaskan mengenai perkara ini dalam satu kenyataan pada 15 Januari 2019 lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jentera kerajaan: Kementerian Pertahanan jawab dakwaan Najib]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Mat Sabu tuntut duit minyak dari Kit Siang?', tanya Najib]

[ARTIKEL BERKAITAN: Mat Sabu jawab tuduhan guna kenderaan kerajaan]

Sebelum ini, gambar Mohamad menggunakan helikopter kerajaan di Cameron Highlands tular dan mendapat kritikan ramai termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selasa lalu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan menafikan menterinya menggunakan jentera kerajaan ketika menghadiri penamaan calon PRK Cameron Highlands pada 12 Januari lalu.

Sebaliknya, gambar tular yang memaparkan Mohamad berlatarbelakangkan helikopter adalah lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highlands pada 9 Januari lalu dan pulang pada hari sama selepas selesai lawatan.

Mohamad kemudian membuat kenyataan sehari kemudian dan menyatakan bahawa beliau menaiki kenderaan sendiri melalui jalan darat pada hari berkenaan, bukan helikopter yang juga kenderaan rasmi kerajaan.