Lima lokaliti wabak denggi dikesan di Kuala Terengganu

Dua kakitangan Jabatan Kesihatan sedang memeriksa takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes di sebuah rumah di Bukit Besar di sini.
Dua kakitangan Jabatan Kesihatan sedang memeriksa takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes di sebuah rumah di Bukit Besar di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima lokaliti hotspot di daerah ini dikenal pasti masih aktif wabak denggi dengan laporan 28 kes denggi sejak 6 Jun lalu.

Antaranya termasuk di Kampung Banggol; Kampung Nibong Atas, Bukit Besar; Taman Ibai Indah di Kuala Ibai; Lorong Seri Tanjung, Bukit Besar dan Lorong Kenanga.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, bagaimanapun semua wabak ini terkawal malah tiada kematian direkodkan akibat denggi dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan rekod terdapat 13 episod wabak berlaku di Terengganu iaitu 10 di Kuala Terengganu, dua di Hulu Terengganu dan satu di Kuala Nerus dikesan sejak Januari hingga 6 Jun lalu.

"Dalam tempoh itu juga sebanyak 176 kes denggi direkodkan berbanding 318 kes dalam tempoh sama tahun lalu dengan penurunan sebanyak 44.5 peratus.

"Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi dengan 99 kes diikuti Kemaman (19 kes), Kuala Nerus (17), Besut (14), Dungun (11), Marang (lapan), Hulu Terengganu (lima) dan Setiu (tiga).

"Semua daerah menunjukkan penurunan kes kecuali Kemaman yang menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Dr Alias berkata, sebanyak 84 kes demam denggi direkodkan bermula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 6 Jun lalu dengan peningkatan ketara bermula awal Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan demam denggi dengan menjaga kebersihan kawasan rumah dan sekeliling walaupun berlaku penurunan kes denggi tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mengekang penambahan kes denggi di Terengganu," katanya.