Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini

Malaysia tidak akan menghantar jemaah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Gambar kecil: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Malaysia tidak akan menghantar jemaah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Gambar kecil: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Malaysia tidak akan menghantar jemaah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, keputusan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Berdasarkan kepada taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 9 Jun 2020, ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441 Hijrah adalah ditangguhkan

"Semalam, saya telah menjemput Duta Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia untuk bertemu dan menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah haji bagi Malaysia untuk disampaikan kepada Dr Mohammed Saleh Taher Banten selaku Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi.

"Selain Malaysia, antara negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah haji mereka adalah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei," katanya pada sidang media khas hari ini.

Jelas beliau, keputusan itu adalah bersifat menyeluruh termasuk bagi haji Furada kerana mengambil kira situasi semasa penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang tidak memenuhi syarat istito’ah berikutan masih belum ada vaksin ditemui.

"Ibadat haji yang merupakan Rukun Islam kelima berkait rapat dengan syarat istito’ah, iaitu berkemampuan menunaikan haji daripada aspek kesihatan, keselamatan, keizinan melakukan perjalanan ke Tanah Suci dan kewangan.

"Tanpa keupayaan atau kemampuan pada hal-hal yang disebutkan, maka menurut hukum syariah syarat istito’ah tidak dicapai untuk mewajibkan kita menunaikan haji," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli berkata, ketetapan itu bagaimanapun tidak menjejaskan giliran bakal jemaah haji yang telah terpilih pada tahun ini.

Namun katanya, bagi jemaah yang telah lulus rayuan, keputusan tersebut dianggap terbatal dan perlu membuat permohonan semula tahun hadapan.

"Sebagaimana diputuskan bersama Tabung Haji, mereka yang tidak dapat pergi tahun ini keseluruhannya akan dibawa ke tahun hadapan, yang tahun hadapan akan ke tahun hadapan yang lain.

"Bagi yang telah diterima melalui rayuan haji yang telah diluluskan, maka diminta untuk membuat rayuan semula kerana rayuan ini dianggap terbatal dan pohon semula tahun hadapan," katanya.

Tambah beliau, berikutan keputusan tidak menghantar jemaah haji tahun ini, kerajaan akan berbincang dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kuota tambahan tahun hadapan.

"Kita bergantung kepada kerajaan Arab Saudi. Jika diizinkan selepas selesai wabak ini kami akan ke Arab Saudi untuk bincang dan bina hubungan sebaik mungkin termasuk bincangkan isu-isu seperti ini," katanya.