JKM cari ibu kandung, waris tujuh kanak-kanak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggesa ibu kandung atau waris kepada tujuh kanak-kanak tampil bagi urusan penempatan.

JKM Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan, kanak-kanak itu ialah Danisha Sofeazin Abdullah berusia 5 bulan; Mohd Gardiel Zafira Yardan, 2; Muhammad Abdul Faris, 7; Sri Shayyan Andrian, 4; Siti Aisyah Fazal, 12; Ayesha Azhara dan bayi perempuan kepada Faridah Kannagi Abdullah yang masing-masing berusia 6 bulan.

Menurut JKM, bayi kepada Faridah dirujuk Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur selepas ditinggalkan di wad 9A hospital tanpa sebarang dokumen dan lawatan sehingga kini.

Menurut kenyataan itu lagi, Danisha yang dilahirkan pada 6 Mei dipelihara Abd Hamid @ Mohd Zin Hitam dan Hajijah sejak berusia 10 hari apabila ibu kandung, Rosni Salleh menghilangkan diri.

“Mohd Gardiel pula kini ditempatkan dalam jagaan seorang warga tempatan di bawah Perintah Mahkamah Subseksyen 19 (2) (b) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016 selepas ibunya dipercayai bernama Julyani Gultom menghilangkan diri.

“Muhammad Abdul dipelihara Khairi Saman dan Noriah Abu Chek sejak berusia 4 bulan tanpa dokumen kelahiran. Ibu kandungnya, seorang warga Indonesia bernama Siti Rahmah tidak pernah menghubungi atau melawat kanak-kanak itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, ibu kandung Sri Shayyan bernama Shanti pula meninggalkannya tanpa sebarang dokumen kepada seorang penjaga, Shafina Ena Abdullah sejak April 2016.

Sehubungan itu, JKM memohon ibu kandung atau waris kepada semua kanak-kanak tampil ke JKM Kuala Lumpur di Tingkat 9, Grand Seasons Avenue, Jalan Pahang bagi memberikan maklumat atau menghubungi talian 0326124000.

Artikel Berkaitan: